Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,645

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pembukaan Hospital Gleneagles Petanda Positif Peningkatan Perkhidmatan Kesihatan Di Sabah

8:53pm 02/11/2015 Pak Roshan 557 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

hospital

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah menyifatkan pembukaan hospital swasta terkemuka Gleneagles di negeri ini, merupakan perkembangan positif ke arah peningkatan kualiti perkhidmatan kesihatan di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata pembukaan hospital itu dilihat seiring dengan usaha kerajaan negeri dalam memastikan penyediaan perkhidmatan kesihatan di negeri itu adalah mencukupi dan terbaik.

“Saya percaya ini bukan sahaja dapat memenuhi permintaan dan menambah pilihan perkhidmatan perubatan dalam negeri, malah berupaya menjadikan Sabah sebagai hab perubatan di rantau ini,” katanya ketika merasmikan pembukaan Hospital Gleneagles dekat sini, hari ini.

Beliau berkata pembukaan hospital bertaraf dunia itu di Sabah, sekali gus mampu menggalakkan lagi perkembangan sektor pelancongan di negeri berkenaan.

Katanya langkah itu juga sejajar dengan matlamat kerajaan pusat dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk menjadikan sektor pelancongan dan penjagaan kesihatan sebagai pemacu kejayaan ekonomi sesebuah negeri.

“Sabah dikurniakan dengan beberapa kawasan semula jadi menarik yang boleh mempercepatkan proses pemulihan pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta.

“Dengan landskap penjagaan kesihatan yang pantas berubah sebagai dasar baharu, Sabah tidak boleh terlepas banyak peluang yang ditawarkan dalam sektor kesihatan, termasuk dalam pelancongan kesihatan,” katanya.

Hospital Gleneagles Kota Kinabalu mula beroperasi sejak Mei lepas, dan telah merawat lebih 4,000 pesakit tempatan dan luar negara termasuk 20 mangsa gempa bumi pada Jun lepas.

Sementara itu, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Berhad Dr Tan See Leng berkata pembukaan Hospital Gleneagles Kota Kinabalu adalah tepat, berikutan perkembangan pesat ekonomi di Sabah ketika ini yang mampu membuka pasaran besar dalam bidang perkhidmatan kesihatan.

“Kami tidak boleh memilih tempat lebih strategik selain dari Kota Kinabalu, kerana di bawah kepimpinan dan visi Ketua Menteri Sabah, pembangunan penjagaan kesihatan dan pelancongan telah diberi keutamaan di sini,” katanya yang mempunyai pengalaman selama 40 tahun dalam bidang kesihatan di Malaysia

Tan berkata Hospital Gleneagles Kota Kinabalu adalah sebahagian daripada projek Parkway Pantai Limited yang kini mempunyai 13 hospital di Semenanjung Malaysia.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan