Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pembinaan SMK Petagas selesai masalah bilik darjah di Putatan

KETUA Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman (kiri) meninjau tapak sekolah yang bakal didirikan pada majlis pecah tanah SMK Petagas di Kampung Petagas, Putatan. Turut sama, timbalannya yang juga calon BN bagi kerusi DUN Petagas, Datuk Seri Yahya Husin (dua dari kiri) dan calon BN bagi kerusi Parlimen Putatan, Datuk Dr Marcus Mojigoh (tiga dari kiri). – Foto Khairull Azry Bidin

 

PUTATAN: Masalah kekurangan bilik darjah bagi menampung bilangan pelajar yang meningkat setiap tahun di daerah ini diatasi menerusi pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petagas di Kampung Tengah Padang, Petagas di sini.

Sekolah baharu itu yang menempatkan 36 bilik darjah dan 16 unit rumah guru kelas F dibina dengan kos kira-kira RM50 juta bermula pada 12 April lalu dan dijangka siap pada 30 Julai 2020.

 Majlis pecah tanah pembinaan sekolah menengah ketiga di Putatan yang mampu menampung lebih 1,000 pelajar itu disempurnakan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, di tapak sekolah berkenaan, di sini, hari ini.

Ketika ini, hanya ada dua sekolah menengah di daerah ini iaitu SMK Putatan dan SMK Tansau, masing-masing dengan 1,900 dan 1,800 pelajar, iaitu sudah mencapai kapasiti maksimum pelajar yang mampu ditampung sekolah terbabit.

Musa dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri mengambil berat kesukaran ibu bapa di daerah ini untuk menghantar anak mereka ke sekolah berikutan kapasiti sekolah sedia ada sudah mencapai tahap maksimum.

“Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin sering membangkitkan soal pembinaan sekolah ini pada setiap mesyuarat majlis gerakan negeri. Masalahnya cuma berkaitan tanah.

“Jadi saya minta Jabatan Tanah dan Ukur selesaikan masalah itu kerana pembinaan sekolah ini sangat penting kepada rakyat di sini. Hari ini masalah itu sudah selesai dan kita dapat menyaksikan pecah tanah pembinaan sekolah ini,” katanya.

Yang turut hadir, Yahya sebagai calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Putatan, Datuk Dr Marcus Makin Mojigoh dan calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Aru, Datuk Edward Yong Oui Fah.

Musa yang juga Pengerusi BN negeri, berkata infrastruktur sekolah menjadi keutamaan kerajaan dalam memastikan keselesaan murid dan pelajar di negeri ini menimba ilmu.

“Tahun ini saja RM1 bilion diagihkan kerajaan Pusat kepada Sabah untuk menyelesaikan bangunan sekolah daif di negeri ini. Jumlah itu cukup besar dan ia tentu sangat bermakna kepada kita semua,” katanya.

Terdahulu, Yahya yang juga calon BN DUN Petagas, berkata cadangan pembinaan SMK Petagas sudah dibangkitkan beliau sejak lima tahun lalu sejajar usaha memberi keselesaan kepada pelajar di daerah ini.

Katanya, jalan masuk ke tapak sekolah baharu itu juga sudah lama dibina bagi memudahkan pembinaannya, namun pelaksanaan projek itu tertangguh disebabkan masalah tanah.

“Hari ini, pembinaannya sudah dimulakan dan apabila siap nanti, penduduk daerah ini tidak lagi berdepan mencari sekolah untuk anak mereka berbanding ketika ini yang mana sekolah sedia ada tidak lagi dapat menampung peningkatan pelajar,” katanya. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan