Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pembinaan Empangan Kaiduan diteruskan

 

Pairin (tengah) melawat salah sebuah gerai pameran yang menyertai Persidangan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Sabah. - foto Alex Mairin
Pairin (tengah) melawat salah sebuah gerai pameran yang menyertai Persidangan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Sabah. – foto Alex Mairin

KOTA KINABALU – Pembinaan empangan Kaiduan, Papar dianggap kritikal dan perlu disegerakan bagi menampung keperluan bekalan air yang dijangka semakin bertambah selain sebagai persediaan menghadapi krisis air menjelang 2030.

Ia merupakan keperluan mendesak yang telah difikirkan oleh kerajaan negeri dalam memastikan rakyat mempunyai bekalan air cukup sekaligus menangani kekurangan sumber air terutama semasa musim kemarau.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menjelaskan kerajaan negeri akan meneruskan rancangan pembinaan empangan tersebut dan berharap ia akan dapat disiapkan sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun.

“Apabila kita menumpukan projek ini, kita bukan mahu menyusahkan rakyat sebaliknya kita mahu memantu mereka dan jutaan pengguna bakal mendapat manfaat daripada projek ini sebaik sahaja ia siap kelak,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, merasmikan Persidangan Hari Air Sedunia 2015 Peringkat Negeri yang diadakan di sini hari ini.

Ketika ini, pengguna di sekitar Kota Kinabalu sehingga Papar memperolehi bekalan air bersih setiap hari yang disalurkan oleh empangan Babagon, di Penampang dan hasrat murni kerajaan adalah untuk membina empangan Kaiduan sebagai persediaan awal menghadapi krisis bekalan air.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrstruktur negeri berkata, kerajaan menyedari perkara tersebut mengundang kontroversi dan terdapat bantahan oleh sesetengah pihak agar pelaksanaan projek itu tidak diteruskan kerana melibatkan lokasi penduduk kampung di kawasan sekitar tapak yang dicadangkan itu.

“Justeru, kita akan memanggil pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan pembangkang untuk mengadakan perbincangan mengenai isu ini kerana kita mesti melihat perkara ini daripada sudut keseluruhan untuk kebaikan rakyat dan dalam masa sama kebajikan penduduk yang terbabit dalam projek ini sudah tentu diambil kira.

“Kalau berlaku pemindahan penduduk di Kaiduan itu, kebajikan mereka akan dijaga dan mereka ini akan dipindahkan ke kawasan lebih baik dengan mengambil kira soal infrastruktur dan aktiviti ekonomi mereka,” ujarnya. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

 

Komen


Berita Berkaitan