Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pemberian Elaun Kesusahan Guru, 107 Sekolah Layak Di Sabah

guru

SANDAKAN – Sebanyak 107 sekolah di Sabah layak dalam Pemberian Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan kepada guru yang bertugas berikutan penilaian semula dan dikuatkuasakan bermula bulan ini.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Sabah (STU) Suhaimi Othman berkata jumlah itu meningkat berbanding hanya 38 sekolah pada tahun lepas berdasarkan senarai sekolah yang dinilai pada 2007.

Katanya elaun khas itu membolehkan guru yang mengajar di sekolah rendah dan menengah dalam kategori P3 menerima RM1,500 sebulan.

“STU mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mengambil perhatian berat terhadap guru yang bertugas di kawasan pulau dan pedalaman Sabah.

“Saya percaya pertambahan ini akan menyuntik semangat rakan-rakan guru yang bertugas di kawasan pedalaman dan pulau serta dapat mengurangkan beban kesusahan yang mereka hadapi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menerusi penilaian semula itu, sebanyak 372 sekolah di Sabah dan Sarawak layak dalam pemberian elaun khas itu kepada guru bertugas.

Suhaimi berkata pertambahan sekolah layak menerima elaun itu sejajar dengan perkembangan semasa khususnya meringankan beban dari segi kos yang terpaksa ditanggung untuk pulang ke kampung halaman mereka.

Menurutnya ada guru bertugas di sekolah berkenaan yang terletak di pedalaman dan pulau terpaksa menanggung kos menyewa pengangkutan seperti bot dan minyak kenderaan setiap kali untuk ke bandar berhampiran.

Suhaimi yang juga Pegawai Pendidikan Daerah Kinabatangan berkata STU turut bersimpati dengan rakan-rakan guru yang terlibat dengan bencana banjir terutama di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Katanya STU meminta semua guru di negeri ini untuk sama-sama menyumbang bantuan kepada tabung bantuan yang disediakan Kementerian Pelajaran melalui Jabatan Pendidikan Negeri Sabah. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan