Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pembatalan Jambatan Sukau: Masyarakat Berterima Kasih Kepada Kerajaan Negeri Sabah

SANDAKAN, 21 April (Bernama) — Kumpulan masyarakat yang terlibat dalam isu jambatan Sukau sejak setahun lepas berterima kasih kepada kerajaan negeri Sabah atas keputusan untuk tidak meneruskan projek itu.

Save Kinabatangan yang ditubuhkan tahun lepas sebagai kempen yang melibatkan beberapa organisasi juga mengucapkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman kerana membuat keputusan sukar untuk membatalkan projek itu.

Kajian menunjukkan projek pembinaan jambatan yang dicadangkan merentasi Sungai Kinabatangan di Sukau itu akan terus menjejaskan kawasan rendah Santuari Hidupan Liar Kinabatangan dan hutan di sekitarnya.

Save Kinabatangan terdiri daripada antaranya Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo (BSBCC), Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) Kinabatangan, Persatuan Operator Pelancongan Koridor Kehidupan Kinabatangan (KiTA), Land Empowerment Animals People (LEAP), Living Landscape Alliance (LiLA) dan WWF-Malaysia (pejabat Sabah).

“Kami sepenuh hati menyokong penduduk Sukau dan masyarakat Kinabatangan dalam usaha ke arah wawasan serantau. Dengan cara ini, orang ramai dan hidupan liar serta sektor pelancongan dan kelapa sawit boleh bersama-sama membina masa depan yang memberi manfaat bersama,” kata badan itu dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Konservator Perhutanan Sabah Datuk Sam Mannan mengumumkan bahawa kerajaan negeri tidak akan meneruskan pembinaan jambatan itu ketika berucap pada majlis makan malam Perkongsian Penyelidikan Hutan Tropika Asia Tenggara (SEARPP) di Royal Society, London.

Sam berkata Musa telah mengambil kira kebimbangan dan pandangan daripada semua pihak berhubung isu jambatan itu sebelum membuat keputusan tersebut.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan