Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pembangunan ekonomi Sabah terus dilaksana untuk rakyat

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman. - foto JKM
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman. – foto JKM

KOTA KINABALU – Inisiatif kerajaan negeri yang konsisten dalam meningkatkan ekonomi, menjaga kebajikan rakyat, mengekalkan kestabilan politik dan memastikan kelancaran segala program pembangunan yang telah dilaksanakan, menjadikan Sabah antara negeri yang kompetetif di negara ini.

Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman mahu semua pihak terus memantapkan kerjasama dalam melakukan Program Transformasi kerajaan (GTP) demi menjamin kesinambungan kesejahteraan negeri itu secara keseluruhannya.

“Semoga tahun 2015 akan merekodkan lebih banyak pencapaian dan kemajuan dalam semua bidang agar negeri Sabah terus bergerak maju ke hadapan setanding dengan negara-negara terbaik dunia suatu hari nanti,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2015.

Beliau menambah, tahun baharu adalah masa untuk melakukan sesuai yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya dan ia satu permulaan baharu bagi memberi peluang kepada semua pihak untuk merancang serta mencapai cita-cita dan aspirasi baharu.

Jelas beliau lagi, Program Transformasi Ekonomi (ETP), iaitu Koridor Pembangunan Sabah (SDC) akan terus diberi tumpuan bagi memacu Agenda Pembangunan Negeri atau Halatuju, agar ia berada di landasan yang tepat untuk mencapai matlamatnya.

Pada masa yang sama, Musa berkata, tumpuan juga akan diberikan terhadap sektor minyak dan gas, bidang pelancongan dan logistik, minyak sawit dan pewujudan serta penerokaan sumber-sumber baharu.

“Projek-projek yang terhasil melalui inisiatif ini bukan sahaja akan berupaya mewujudkan lebih ramai usahawan tempatan, tetapi juga membantu menjana bilangan pekerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

“Saya percaya terdapat banyak perkara positif yang terhasil daripada kerancakan pertumbuhan ekonomi berasaskan pelbagai bidang dan sektor. Secara keseluruhannya, Malaysia telah berjaya mencapai matlamat transformasinya selaras dengan hasrat dan cita-cita Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” ujarnya.

Musa berkata, kerjasama erat dan padu yang terjalin di antara kerajaan negeri dan Pusat juga menjadi faktor utama kerancakan pembangunan di negeri ini yang membolehkan penambahbaikan dari segi infrastruktur awam, keperluan pendidikan dan tenaga manusia.

“Kerajaan Pusat sentiasa mendengar suara rakyat di negeri ini dan telah mengambil langkah sepatutnya dalam memastikan setiap hasrat, harapan dan aspirasi kita dipenuhi. Sehubungan itu, saya ingin menggesa rakyat Malaysia di Sabah supaya tidak terpedaya dengan agenda pihak-pihak tertentu yang mendakwa bahawa kita sedang dizalimi oleh kerajaan Pusat.

“Apa juga isu dan masalah, terdapat platform sesuai yang boleh kita gunakan bagi menyuarakannya. Mewujudkan ketegangan dan putar belit fakta hanya akan menggugat keamanan dan keharmonian negeri ini sekaligus merencatkan agenda mewujudkan Sabah yang lebih baik,” katanya lagi.

Selain itu, katanya, pengumuman laporan Suruhanjaya Siasatan Pendatang Tanpa Izin di Sabah baru-baru ini adalah bukti komitmen Kerajaan Pusat untuk mencari penyelesaian bagi masalah yang telah sekian lama berlarutan ini.

Dalam perutusan itu, beliau turut menyentuh mengenai Bajet Sabah 2015 bakal menghasilkan lebihan atau surplus sebanyak RM49.23 juta buat kali pertama sejak 2008.

Katanya, dengan tema bajet ‘Menumpu Kelestarian Pembangunan Untuk Kesejahteraan Rakyat’ yang berjumlah RM3.812 billion, kerajaan negeri berazam untuk terus memantapkan agenda pembangunan di negeri itu.

Projek pembangunan itu, katanya akan melibatkan penaiktarafan infrastruktur asas, pembangunan belia, pembasmian kemiskinan, meningkatkan kualiti hidup dan pembangunan yang seimbang di bandar dan luar bandar.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus berbelanja secara berhemah demi mengukukan kewangan dengan mengikut langkah-langkah yang telah disediakan. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan