Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,713

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pembangunan Daerah Paitan Jadi Keutamaan Kerajaan – Musa

11:46am 16/11/2015 Pak Roshan 145 views Mutakhir,Sandakan,Tempatan,YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman

paitan

BELURAN : Kerajaan negeri akan memastikan pembangunan di daerah Paitan seiring dengan kemajuan daerah lain di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata sebelum ini daerah Paitan dikatakan amat terpencil dan hanya boleh dihubungi menggunakan pengangkutan laut, namun kini ia mempunyai jaringan jalan raya yang baik.

Katanya dengan rangkaian jalan raya yang baik, daerah Paitan kini menjadi antara laluan alternatif untuk ke Beluran, selain menjadi daerah persinggahan yang amat strategik.

Gandingan mantap wakil rakyat dan pemimpin di kawasan itu membolehkan pembangunan setempat dan kesejahteraan rakyat terus mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan,” katanya ketika merasmikan Pesta Tagunggu Paitan kali ke-10 di Pentas Rakyat Pekan Paitan, semalam.

Teks ucapannya dibacakan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Bolkiah Ismail.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga Anggota Parlimen Beluran Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

Musa berkata Paitan tidak pernah terpinggir daripada agihan peruntukan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat.

Menurutnya di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) Paitan mendapat Loji Rawatan Air, sebuah sekolah menengah kebangsaan dan Solar Hibrid yang dibina di tujuh kampung.

Katanya bagi RMK-11 pula, banyak lagi kemudahan infrastruktur serta prasarana awam bakal dibina termasuk klinik kesihatan, balai polis, naik taraf jalan utama dan membina loji rawatan air baharu.

Mengenai Pesta Tagunggu Paitan, Musa berkata kerajaan negeri akan terus menyokong penganjuran pesta berkenaan kerana ia menonjolkan kepelbagaian budaya unik dan menarik di Sabah.

Katanya selain menyaksikan pelbagai persembahan muzik suku kaum sungai seluruh Sabah, ia turut menggambarkan kekayaan khazanah budaya dan warisan negeri meliputi kesenian, kebudayaan termasuk pakaian, tarian dan alat muzik.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan