Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,694

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pembangkang Tidak Sekali-kali Mampu Jadi Kerajaan Alternatif – Salleh

10:06pm 01/05/2016 Pak Roshan 416 views Mutakhir,Nasional
Datuk Salleh Said Keruak

Datuk Salleh Said Keruak

KUALA LUMPUR : Pembangkang bukan sahaja tidak mempunyai landasan yang diperlukannya untuk berjaya, malah mempunyai struktur yang lemah untuk membolehkannya menjadi kerajaan alternatif seperti yang didakwanya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata pergolakan politik yang tercetus di Selangor sejurus selepas Pilihan Raya Umum 2013, disusuli perpecahan Pakatan Rakyat tidak lama selepas itu dan penubuhan Pakatan Harapan tanpa PAS, dan kini keadaan bercelaru dalam pilihan raya negeri Sarawak, menunjukkan bahawa pembangkang tidak mempunyai asas yang diperlukannya untuk berjaya.

“Apabila kita bercakap tentang suatu alternatif, ia bermakna suatu pilihan yang setara, bukan yang mempunyai kekurangan. Alternatif mestilah merupakan pilihan kedua, bukan pilihan kelas dua.

“Dalam hal ini, Pakatan Harapan bukanlah pilihan kedua sebagai pengganti kepada Barisan Nasional (BN) kerana ia tidak memiliki apa yang dimiliki BN iaitu landasan kukuh bagi menyokong strukturnya,” kata Salleh dalam blog beliau sskeruak.blogspot.com, hari ini.

Beliau berkata landasan BN terletak pada doktrin perkongsian kuasanya.

Menurut Salleh, di Sarawak, BN melangkau lebih jauh daripada itu, termasuk membenarkan rakyat Sarawak sendiri membuat keputusuan tentang hal ehwal mereka, dengan paling sedikit campur tangan daripada kuasa persekutuan.

Sebaliknya, tegas beliau, Pakatan Harapan tidak mampu untuk memutuskan siapakah yang akan membuat keputusan iaitu sama ada mereka di Kuala Lumpur atau di Sarawak.

“Dan inilah yang menjadi punca wujudnya keadaan bercelaru dalam Pakatan Harapan Sarawak. Tapi, Pakatan Harapan bercakap tentang autonomi, sedangkan hendak memberi autonomi kepada parti mereka sendiri pun, seperti yang dilakukan BN, mereka tidak mampu.

“Inikah jenis kerajaan yang rakyat Sarawak hendak amanahkan masa depan mereka? Betul lah seperti yang dikatakan kedua-dua pihak dalam politik, Sarawak sangat penting bagi BN. Dan, oleh kerana ia penting, maka BN akan menghargai Sarawak serta menjaganya dengan baik,” kata beliau.

Menurutnya, mentadbir sesebuah kerajaan bukan perkara main-main atau seperti menyertai peraduan bahas.

Sebaliknya, kata beliau, mentadbir kerajaan merupakan suatu perkara serius dan ketika BN bersikap begitu serius, Pakatan Harapan lebih sibuk berbalah tentang kerusi.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan