Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pembangkang sokong pulih MA63

 

Datuk Seri Anifah Aman.

 

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman, akan membantu memperoleh sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang sekiranya kerajaan Persekutuan bersetuju memulihkan status Sabah dan Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, sebagai anak Sabah, beliau teruja dengan pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengenai perkara itu kerana selama ini, ia adalah tunjang perjuangan pemimpin kedua negeri terbabit.

“Saya mengalu-alukan kenyataan Dr Mahathir memulihkan status Sabah dan Sarawak mengikut MA63 kerana ia juga asas penubuhan negara ini sejak 55 tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai ucapan Perdana Menteri pada sambutan Hari Malaysia Ke-55 di Padang Merdeka di Kota Kinabalu Sabah, semalam bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi slogan ‘Malaysia Baharu’ akan mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak, berbanding negeri dalam Malaysia.

Dr Mahathir, berkata beliau maklum penukaran status Sabah dan Sarawak, daripada rakan sekutu kepada negeri dalam Malaysia sebelum ini dan pengembalian status itu sebahagian proses yang akan dilaksanakan selepas kajian MA63 disiapkan.

Pengembalian status Sabah dan Sarawak seperti terkandung dalam MA63 memberi negara asas kukuh untuk mengeratkan hubungan ketiga-tiga wilayah.

Anifah, yang juga bekas Menteri Luar, percaya anggota Parlimen pembangkang lain akan menyokong cadangan berkenaan selagi ia bersesuaian.

Mengulas mengenai pembayaran royalti minyak, Anifah berkata kerajaan Persekutuan harus terlebih dulu mengambil langkah perlu bagi mengiktiraf niat dan semangat MA63.

“Hanya selepas bersetuju dengan perkara itu, rundingan mengenai kadar pembayaran boleh dijalankan kerana ia perlu dilakukan demi kepentingan rakyat di Sabah dan Sarawak.

“Justeru, kerajaan perlu segera memulakan langkah melaksanakan MA63 tanpa sebarang alasan atau penangguhan lagi,” katanya.

Di bawah kerajaan terdahulu, Anifah, bersama bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dari Sarawak, mengetuai jawatankuasa Kabinet untuk melihat pemulihan hak Sabah dan Sarawak di bawah MA63.

Beliau turut membangunkan badan bukan kerajaan (NGO), dikenali sebagai MySabah dalam menuntut semula hak Sabah, terutama pulangan sebanyak 40 peratus daripada pendapatan bersih dikutip oleh kerajaan Persekutuan, kepada negeri itu.

Anifah sebelum ini, pernah mengancam keluar dari parti, sekiranya kerajaan Persekutuan gagal memenuhi syarat di bawah MA63 selepas beberapa kali berjanji untuk berbuat demikian. – BH Online

Komen


Berita Berkaitan