Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pembaikan 11 rumah OKU di Taman Cahaya Sandakan diberi perhatian – Stephen

SANDAKAN, 26 Ogos (Bernama) – Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah akan membantu kerja pembaikan sebelas rumah di perkampungan khas untuk orang-orang buta di Taman Cahaya Batu 12 dekat sini.

Menterinya Stephen Wong Tien Fatt berkata rumah kayu tersebut perlu diperbaiki kerana dalam keadaan daif yang dibina sejak 1970.

Katanya turut diberi perhatian adalah keperluan membina 20 rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin untuk keluarga orang-orang buta di Taman Cahaya.

“Saya akan membantu untuk mendapatkan peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah persekutuan supaya rumah tersebut dapat dibina.

“Peruntukan untuk pembaikan 11 rumah di perkampungan khas Taman Cahaya akan saya kemukakan kepada kerajaan negeri untuk diambil perhatian,” katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan Kemahiran Pelatih Taman Cahaya Sandakan di sini, hari ini.

Seramai 20 orang pelatih yang cacat penglihatan menerima sijil pada majlis itu membabitkan latihan kemahiran menulis dan membaca braille, anyaman bakul, pertanian, cara menghasilkan cendawan, membuat kerja-kerja rumah, memasak dan belajar mengurut kaki refleksologi dan urut badan.

Stephen yang juga Pengerusi DAP Sabah dan Anggota Parlimen Sandakan berkata Pertubuhan Orang Buta Sabah bukan sahaja memberi latihan kemahiran kepada oku penglihatan, mereka juga menyediakan sebuah perkampungan khas untuk golongan itu.

Justeru, beliau menyeru kepada badan-badan korporat dan orang ramai untuk menghulurkan derma sekiranya menerima surat memohon derma daripada persatuan itu.

Dalam pada itu, Stephen meminta ibubapa yang mempunyai anak atau keluarga dalam kategori Orang Kelainan Upaya berkaitan penglihatan supaya dihantar ke pusat latihan Taman Cahaya untuk mendapat latihan kemahiran yang akan membolehkan mereka berdikari.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan