Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

PEMANGKU RAJA KELANTAN MENCEMAR DULI LAWAT ESSCOM

Pegawai tertinggi ESSCOM mengabadikan kenangan bersama Pemangku Raja Kelantan Yang Maha Mulia Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra (duduk tengah) semasa lawatan baginda di Lahad Datu. Gambar SNT/Ehsan ESSCOM

LAHAD DATU: Pemangku Raja Kelantan Yang Maha Mulia Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra telah mencemar duli melakukan lawatan rasmi ke pejabat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Lahad Datu, tengah hari tadi.

Baginda yang tiba di perkarangan pejabat ESSCOM pada pukul 12.15 tengahari itu disambut oleh komander ESSCOM DCP Dato’ Hazani Ghazali bersama Pesuruhjaya Polis Sabah CP Dato’ Omar Bin Mamah dan diiringi oleh ketua-ketua staf dan pegawai-pegawai kanan ESSCOM.

Dalam lawatan berkenaan baginda telah diberikan taklimat berkaitan dengan situasi keselamatan terkini dan pengoperasian ESSCOM di Zone Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang telah disampaikan oleh Komander ESSCOM sendiri.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali menyampaikan cenderakenangan kepada pemangku Raja Kelantan Yang Maha Mulia Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra sempena lawatan baginda hari ini. Gambar SNT/Ehsan ESSCOM

Turut hadir Timbalan Komander Brig. Jen Dato’ Badrul Hisham Muhamad, Ketua Staf Operasi Laut Laksamana Madya Kamaruszaman Abu Hassan, Ketua Staf Pusat Operasi Brig. Jen. Dato’ Md. Rahim Hj. Mohd, Panglima 13 Briged ESSCOM Brig. Jen. Hamdan Ismail, Ketua Staf Pasukan Khas Sac Mohamad Madun, Pengarah Bahagian Tindakan Awam Azizi Mohamad Ali dan Ketua Polis Daerah ACP Hamzah Ahmad.

Dalam ucapan ringkasnya, baginda bagi pihak Sultan-Sultan dan Majlis Raja-Raja merakam setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas pengorbanan dan khidmat bakti serta dedikasi semua pasukan keselamatan di ESSZONE yang diterajui oleh ESSCOM dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan pantai timur Sabah daripada diganggu gugat oleh anasir-anasir luar khususnya penjenayah rentas sempadan yang sentiasa mencari ruang dan peluang melakukan jenayah.

“Beta bagi pihak Sultan-Sultan dan Majlis Raja-Raja merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas pengorbanan dan dedikasi semua pasukan keselamatan yang diterajui oleh ESSCOM dalam memastikan keamanan negeri ini khasnya di pantai timur Sabah berada ditahap terbaik,” titahnya.

Dalam pada itu, Hazani menjunjung kasih dan rasa terharu di atas kesudian Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan mencemar duli melawat ESSCOM.

“Sesungguhnya kunjungan berkenaan akan menjadi inspirasi dan motivasi kepada kami untuk terus bekerja dengan lebih kuat lagi bagi memastikan keselamatan negeri ini khususnya pantai timur Sabah sentiasa sentiasa terpelihara”, katanya.-SabahNewsToday/ESScom

Komen


Berita Berkaitan