Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pemandu kenderaan dari Labuan terkejut jalan raya tidak berlampu

Jalan Sandakan-Telupid

 

LABUAN: Pemandu kenderaan dari Labuan terkejut dengan ketiadaan lampu jalan seperti yang sepatutnya dipasang untuk keselamatan pengguna di sebahagian jalan raya Ranau -Lahad Datu-Tawau.

Lopak yang terdapat di kebanyakan bahagian jalan raya itu menyebabkan pemandu serta keluarga mereka terpaksa menyabung nyawa apabila lalu di tempat berkenaan.

Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, Zulkiflie Salleh, 45 tahun, yang bekerja di Labuan dan pulang untuk berhari raya di Tawau berkata:

“Lopak yang terdapat di kebanyakan bahagian jalan raya itu memberi risiko kepada pemandu, terutama yang membuat perjalanan bersama-sama keluarga.

Keadaan jalan di daerah Telupid dari Beluran ke Lahad Datu sungguh teruk dan apa yang memburukkan lagi keadaan ialah apabila pemandu kenderaan kecil perlu bersaing dengan trak besar serta bas, yang membawa muatan berat dan penumpang,” katanya.

Beliau juga bersungut tentang ketiadaan lampu isyarat kerana ia memberi masalah apabila memandu pada waktu malam, manakala garisan penanda di jalan raya pula tidak jelas hingga menimbulkan kesukaran kepada pemandu untuk memastikan kenderaan masing-masing berada di lorong betul.

“Itulah hakikat menyedihkan yang dialami setiap hari oleh beribu-ribu pengguna jalan raya di Sabah,” katanya.

Isterinya, Normala Sidik pula berkata: “Seseorang yang lalu di jalan raya ini untuk ‘balik kampung’ tahu betapa gelapnya keadaan, lebih-lebih lagi apabila tidak terdapat banyak kenderaan menggunakan jalan itu.

Banyak pengguna menyuarakan sungutan mereka tentang sikap tidak mengambil kisah pemimpin tertentu dalam pentadbiran kerajaan terdahulu tentang perkara itu.

Menurut statistik polis, jumlah kemalangan meningkat di jalan raya berkenaan, terutama pada musim sambutan Hari Raya.

Kemalangan terbaru berlaku pada Hari Raya kedua melibatkan sebuah keluarga yang pulang daripada menyambut Aidilfitri di Beluran.

Dalam nahas itu, seorang wanita berusia 29 tahun maut, manakala lima yang lain, termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun, cedera parah apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan merempuh tembok konkrit longkang di KM11 Jalan Beluran.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan