Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,794

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pemalsuan Sijil Anak Negeri Antara Isu Mencabar Dalam Siasatan SPRM Sabah

7:08pm 01/03/2016 Pak Roshan 669 views Isu Semasa,Mutakhir

sprm

KOTA KINABALU : Datuk Hishamuddin Hashim yang dinaikkan pangkat dan dilantik sebagai Pengarah Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata antara kes mencabar semasa beliau menerajui SPRM Sabah, ialah isu pemalsuan Sijil Anak Negeri (SAN) atau Surat Pengesahan Anak Negeri (SPAN).

Selain daripada itu kes yang mencabar untuk disiasat di Sabah, ialah isu pemilikan tanah oleh individu yang tidak layak, kata bekas Pengarah SPRM Sabah itu kepada wartawan selepas majlis menandatangani nota/serah terima tugas dengan Pengarah SPRM Sabah yang baharu Datuk Shaharom Nizam Abdul Manap, di sini Selasa.

“Sehingga kini isu berkenaan masih menjadi perhatian utama dan kita sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyelasaikan perkara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata sepanjang 2015 pihaknya telah menerima 452 maklumat yang diperolehi dari pelbagai saluran dan daripada jumlah itu sebanyak 126 kertas siasatan telah dibuka berhubung pelbagai kesalahan.

“Daripada 126 kertas siasatan itu, kita telah menahan seramai 108 orang dan 48 orang telah pun dituduh atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Pada masa sama, Hishamuddin berkata beliau berpuas hati dengan segala operasi yang dilaksanakan oleh SPRM Sabah sepanjang tahun lalu termasuk dari aspek peningkatan moral, prestasi pegawai dan sumbangan dalam menangani isu semasa.

Hishamuddin juga percaya penggantinya Shaharom Nizam yang sebelum ini merupakan bekas Pengarah SPRM Negeri Sembilan dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik untuk mengemudi kepimpinan SPRM Sabah.

Shaharom Nizam dalam ucapannya di majlis itu berkata beliau akan meneruskan kepimpinan cemerlang yang dicapai Hishamuddin selama tempoh perkhidmatan 16 bulan menjadi Pengarah SPRM Sabah.

Beliau juga meminta semua warga kerja SPRM Sabah supaya terus mempertingkatkan tahap disiplin diri demi mengekalkan imej suruhanjaya itu sebagai satu institusi yang berintegriti, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap SPRM.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan