Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Peluang Skuad B-19 tebus kekalahan

Mohd. Aiyyman Shah. – Gambar Fail SNT

KOTA KINABALU: Skuad bawah 19 tahun Sabah yakin peluang pasukan itu untuk meneruskan saingan ke separuh akhir menentang Kedah dalam kempen Piala Belia di Stadium Penampang, petang esok.

Walaupun perlu mengatasi defisit gol lawan dalam pertemuan pertama kedua-dua pasukan yang menyaksikan Sabah tewas 2-4, Ketua Jurulatih, Mohd. Aiyyman Shah Johnny Abdullah tetap positif dengan peluang Sabah, apatahlagi mereka bakal beraksi di laman sendiri.

Mengakui ia merupakan tugas berat pemain dalam merealisasikan misi itu, beliau mahu anak buahnya itu fokus dengan perlawanan esok dan menampilkan aksi yang berkualiti bagi memenangi perlawanan itu.

“Sabah perlu menang sekurang-kurangnya 2-0 atau lebih dua gol. Justeru, pemain perlu menghadapi perlawanan ini dengan keyakinan tinggi bahawa mereka dapat mencapai misi kemenangan untuk pasukan. Jangan leka.

“Melihat kepada jaringan yang kita lakukan di gelanggang lawan tempoh hari, bermakna kami seharusnya boleh melakukan di laman sendiri esok,” katanya sambil menambah benteng pertahanan Sabah akan diperkemaskan bagi mengekang asakan lawan.

Beliau menegaskan kesilapan mudah yang dilakukan pada perlawanan pertama apabila gol lawan membolosi gawang mereka sesudah Sabah berjaya mendahului jaringan perlu dielak.

Sehubungan itu, Mohd. Aiyyman berharap pemain dapat meminimumkan kesilapan jika mahu meneruskan kemaraan dalam pusingan akhir.

Dalam pada itu, katanya beberapa perubahan akan dilakukan dalam kesebelasan utama pemain dalam perlawanan esok ekoran masalah kecederaan.

“Beberapa pemain dalam kesebelasan utama iaitu Mohd. Hizaz Lokman, Owen Piou dan Abdul Hanafie bakal direhatkan manakala Syann Elven Steven tidak dapat disenaraikan kerana mengalami kecederaan,” ujarnya. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan