Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pelihara bahasa ibunda- Hamisa

2:45pm 05/06/2016 Elezebeth Esther Onjining 29 views Tempatan
RASMI...Hamisa memukul gong tiga kali tanda perasmian Hari Gawai Kg. Iban Merotai.

RASMI…Hamisa memukul gong tiga kali tanda perasmian Hari Gawai Kg. Iban Merotai.

Katanya, tanpa menguasai bahasa ibunda masing-masing, adalah sukar bagi generasi hari ini dan akan datang untuk terus memelihara dan mengembangkan warisan budaya yang telah diwariskan sejak zaman awal tamadun suku-suku kaum berkenaan.

“Bahasa dialek tempatan (bahasa ibunda) itu kaya dengan warisan budaya tradisi bukan saja dari segi perbendaharaan kata, seni bunyi, sastera tradisi dan sebagainya, malahan mengandung nilai warisan budaya yang sangat tinggi,”ujar Abas.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian sambutan Hari Gawai Peringkat Kampung Iban Merotai, di sini,semalam.

Selain itu, tambah Hamisa, harmoni antara suku kaum dan penduduk sesebuah negara jarang sekali wujud dengan sendirinya tanpa usaha dan kesanggupan rakyat jelata memahami dan menghayati budaya dan tradisi suku kaum yang lain.

Tegas beliau, kepekaan dan penghayatan realiti masyarakat pelbagai budaya adalah tunjang ataupun prasyarat yang penting kepada perpaduan khususnya bagi masyarakat majmuk di negeri dan negara ini.

Hamisa yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat berkata masyarakat berbilang suku kaum dan agama juga disarankan untuk terus memupuk dan memelihara semangat perpaduan di kalangan mereka bagi meningkatkan keupayaan dan semangat mengharungi cabaran dalam era globalisasi.

“Perpaduan merupakan tonggak utama negara ke arah mencapai pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat. Perpaduan juga menjadi agenda yang amat penting dalam kehidupan penduduk yang berbilang kaum.

“Generasi muda tidak harus melupakan budaya dan nilai-nilai keperibadian timur yang menjadi asas kebudayaan bangsa sendiri. Peredaran zaman dan arus perubahan semasa menuntut kita agar peka dan bergerak mengikut perkembangan semasa, namun kita, terutama golongan muda tidak harus lupa akan budaya sendiri,” tambah beliau.

Jelas beliau sambutan Hari Gawai ini merupakan mekanisme penting kita untuk membawa kembali generasi muda untuk bersama-sama kita menghayati dan mempraktikkan semula peninggalan warisan budaya nenek moyang kita.

“Sekiranya generasi muda kita pada hari ini kembali kepada penghayatan secara menyeluruh terhadap kebudayaan, saya percaya mereka semua akan tahu menghargai nilai yang tinggi yang dimiliki oleh warisan budaya itu sendiri,” ujarnya.

Menurut beliau Hari Gawai lumrahnya dirayakan oleh masyarakat Dayak dan Iban sebagai tanda kesyukuran mereka atas kejayaan memperolehi hasil tuaian.

“Inilah ciri unik masyarakat Malaysia yang kita banggakan dan membuktikan bahawa kerajaan sentiasa peka dengan aspirasi setiap suku kaum di Negara ini dengan menyediakan peluang kepada setiap budaya etnik untuk merayakaan dan terus berkembang ke arah membentuk identiti nasional, dan seterusnya memperkukuhkan persefahaman yang sedia terjalin untuk mencapai matlamat Satu Malaysia,” katanya.- SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan