Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pelbagai cabaran 100 hari Warisan tadbir Sabah – Ketua Menteri

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berucap sempena 100 hari Kerajaan Negeri yang diterajui Parti Warisan Sabah hari ini. Gambar SNT/Ehsan JKM

KOTA KINABALU, 21 Ogos (Bernama) — Pelbagai cabaran ditempuhi sepanjang tempoh 100 hari Parti Warisan Sabah (Warisan) menerajui tampuk pemerintahan kerajaan negeri Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata antara cabaran itu seperti masalah kewangan serta pengurusan yang tidak begitu cekap dalam sistem pentadbiran kerajaan.

“Dalam tempoh 100 hari ini kita telah laksanakan sebaik mungkin 13 teras manifesto Warisan dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Tetapi kita harus sedar dan tahu bahawa untuk menunaikan semua janji itu memerlukan sedikit masa kerana terdapat pelbagai kekangan yang perlu dihadapi.

“Namun saya percaya dengan barisan Jemaah Menteri dalam kerajaan baharu Sabah yang terdiri daripada orang lama dan baharu… kami mampu menjana sesuatu yang membolehkan negeri ini terlepas daripada belenggu ketandusan pembangunan dan sebagainya agar kita mampu berasing sehingga di peringkat rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersempena 100 hari Warisan menerajui kerajaan baharu Sabah, di sini hari ini.

Janji dalam 13 Teras Manifesto Warisan iaitu menegak dan memperkasa hak-hak asasi rakyat dan negeri Sabah, menjamin keselamatan, perpaduan dan keharmonian rakyat Sabah, menjamin hak pemilikan tanah adat dan hak-hak bumiputera Sabah, memelihara warisan dan kepercayaan etnik dan bangsa di Sabah, mewujudkan Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah, mewujudkan Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, melindungi, memulihara dan memanfaatkan alam semulajadi bumi Sabah, dan menginovasi keupayaan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah.

Turut terkandung dalam manifesto itu adalah membina Pelabuhan Utama di Kudat dan meneruskan pembangunan prasarana jaringan jeraya, kuasa elektrik, telekomunikasi dan sumber air terawat, mengupayakan Agensi-Agensi Kerajaan Sabah (GLC), mengkaji peranan agensi-agensi kerajaan persekutuan, memperkemaskan program pembangunan sosio-ekonomi rakyat dan komuniti dan membangun serta memberi ruang kepada golongan belia dan wanita ke dalam semua sektor kemajuan di Sabah.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata walaupun beberapa janji berkenaan belum direalisasikan, namun ia tetap akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Kita telah melontarkan janji dan ada janji itu memerlukan sedikit masa seperti membina Pelabuhan Utama di Kudat… untuk melaksanakan janji berkenaan kita perlu melihat beberapa aspek termasuk lokasi pembinaan pelabuhan berkenaan.

“Namun beberapa janji kita telah laksanakan dalam tempoh 100 hari ini termasuk berkaitan hal-hal pemulihan hak-hak autonomi khususnya berkaitan dengan pendidikan dan kesihatan serta tuntutan hak-hak negeri,” katanya.

Mohd Shafie berkata selaras dengan usaha itu terdapat tiga kementerian baharu telah diwujudkan dalam sistem pentadbiran negeri Sabah yang diterajui Warisan iaitu Kementerian Pelajaran dan Inovasi, Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, dan Kementerian Hal Ehwal Anak Negeri.

“Kita mewujudkan kementerian berkenaan itu bukan untuk mewujudkan pertindihan kuasa dengan kerajaan pusat, tetapi kita ingin menambah baik sistem pentadbiran di negeri ini.

“Perkara ini penting kerana rakyat Sabah memerlukan pendidikan, penyediaan perkhidmatan kesihatan yang sewajarnya, serta pentadbiran undang-undang yang betul dalam hal berkaitan hal-hal anak negeri,” katanya.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan