Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pelantikan Tommy Thomas, bukti Yang di-Pertuan Agong utamakan rakyat

KUALA LUMPUR: Keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara membuktikan keprihatinan baginda mengenai keluh kesah rakyat berhubung kemelut isu berkenaan.

Pakar perlembagaan Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz, berkata ia sekali gus memberi jaminan mengenai kedudukan hak istimewa Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Katanya, ia juga menamatkan putik kemungkinan berlaku krisis Perlembagaan, selain peristiwa bersejarah yang penting demi kelangsungan kedaulatan institusi beraja. “Junjung kasih kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong XV atas perkenan diraja bagi pelantikan Peguam Negara.

“Perutusan perkenan Duli Tuanku juga memberikan jaminan kepada kedudukan hak istimewa Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama rasmi bagi negara,” kata pensyarah Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu hari ini.

Yang di-Pertuan Agong awal pagi tadi telah memperkenankan pelantikan Tommy sebagai Peguam Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata atas nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Seri Paduka telah menitahkan perkara itu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV menyeru semua rakyat Malaysia untuk menerima bahawa pelantikan Peguam Negara Malaysia tidak patut menimbulkan konflik ke atas kaum atau agama, kerana semua rakyat Malaysia harus dilayan dengan adil tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Dalam kenyataan bertarikh 4 Jun yang dihantar Istana Negara kepada BERNAMA, Wan Ahmad Dahlan berkata, Seri Paduka bertitah bahawa pelantikan tersebut tetap memelihara hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Berikutan keputusan itu, Dr Shamrahayu juga berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu memahami, menghayati dan menginsafi keprihatinan dan amanah memerintah yang digalas oleh Yang di-Pertuan Agong bagi pihak rakyat, seperti terkandung dalam sumpah Perlembagaan baginda.

“Pihak kerajaan tidak sesekali boleh mengabaikan amanah berkenaan. Demikian juga, seperti diketahui umum, begitu sukar sekali untuk baginda membuat keputusan perkenan, namun baginda tetap menghormati kerajaan pilihan rakyat.

“Oleh itu kerajaan tidak boleh mensia-siakan hasrat istana yang mahukan pentadbiran yang mendaulatkan segala peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau juga berpendapat setiap tindak tanduk Peguam Negara selepas ini hendaklah menjadi tanggungjawab kerajaan PH, manakala rakyat perlu terus memainkan peranan sebagai hakim yang bijaksana untuk memilih kerajaan. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan