Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pelancongan: Sabah Optimis Bangkit Semula Dengan Strategi Lebih Agresif

sabahtour

KOTA KINABALU: Sabah optimis untuk bangkit semula dengan strategi pemasaran pelancongan lebih agresif bagi memulihkan suasana berikutan beberapa insiden penculikan di negeri ini baru-baru ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun percaya impak insiden penculikan di pantai timur Sabah ke atas industri pelancongan di Negeri di Bawah Bayu ini hanya bersifat sementara.

“Meskipun kita agak kecewa dengan insiden penculikan itu tetapi saya optimis Sabah bangkit semula dalam pelancongan kerana ini merupakan cabaran kepada Sabah dalam menawarkan tarikan pelancongan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman pada pelancaran program Astro Kasih ‘Beautiful Malaysia Marine Conservation Day’ di Teluk Likas, dekat sini, Ahad.

Masidi berkata industri pelancongan di Sabah dijangka kembali pulih dan terus menjadi penyumbang utama ekonomi negeri hasil jaminan keselamatan oleh kerajaan dan pihak berwajib.

“Ketibaan pelancong seperti di pantai barat tidak teruk dan mereka hanya menjauhi kawasan pantai timur dan kesan ketara hanya melibatkan pelancong dari China sahaja,” katanya.

Masidi berkata kementeriannya juga giat melaksanakan pengubahsuaian strategi pemasaran dengan memperhebatkan tumpuan terhadap promosi pelancongan di Indonesia, Korea dan negara Eropah.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak kedutaan China khususnya pejabat konsulat China di Kuching, Sarawak bagi saling bertukar pandangan, statistik serta maklumat berkaitan.

Kerajaan negeri, katanya, menyambut baik penubuhan Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu, Sabah, yang dijangka dilaksana akhir tahun ini sempena 40 tahun hubungan kerjasama Malaysia-China.

“Kita berterima kasih dengan Kedutaan China kerana faham dengan dugaan dan situasi yang berlaku di luar kawalan. Sekarang pemilihan tapak sesuai sedang dilakukan untuk menubuhkan pejabat konsulat China di negeri ini,” katanya.

Pada 16 Jun lepas, seorang pengusaha pusat ternakan ikan dalam sangkar, Chan Sai Chiun, 32, dan seorang pekerja yang hanya dikenali sebagai Mazlan berumur sekitar 20-an diculik dua lelaki bersenjata di Kampung Air Sapang, Kunak pada kira-kira 12.40 tengah malam.

Pada 6 Mei lepas, lima lelaki bersenjata menculik seorang pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China di Pulau Baik di Lahad Datu, sebulan selepas seorang pelancong wanita warga China diculik di sebuah resort di Semporna.

Komen


Berita Berkaitan