Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pelancongan desa diberi keutamaan

 

Datuk Seri Masidi Manjun – Archive Sayang Sabah

 

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah akan memberi tumpuan kepada sektor pelancongan luar bandar.

Menterinya, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ini berikutan ada minat yang tinggi dalam kalangan pelancong untuk menerokai keindahan dan produk pelancongan di desa.

Katanya, usaha ini juga sejajar dengan hasrat Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman yang memberi keutamaan kepada pelancongan desa, dalam Bajet 2018.

“Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa kita mencapai tahap yang cukup baik dalam sektor pelancongan di bandar seperti di Kota Kinabalu. Sebab itu sekarang kita memberi tumpuan pula di desa.

“Usaha ini akan memberi manfaat kepada penduduk luar bandar dalam mempromosikan produk yang ada di kawasan masing-masing kepada pelancong,” katanya sempena majlis Anugerah Pelancongan Sabah Ke-11 di sini, malam tadi.

Masidi berkata, satu penghargaan khas diberikan kepada Persatuan Pelancongan Kadamaian Kota Belud yang aktif dalam sektor pelancongan di desa.

“Saya ingin mengiktiraf penduduk di Kadamaian, Kota Belud dan perlu menjadi contoh kerana membina industri pelancongan dari awal tanpa bantuan sedikit pun. Malah, saya difahamkan sehingga September lalu, penduduk di Kadamaian mengutip pendapatan mencecah RM500,000,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Masidi berkata, Konsul China di Sabah memaklumkan mereka sedang menguruskan untuk mengadakan penerbangan terus dari Beijing ke Kota Kinabalu, selewat-lewatnya pada awal tahun depan.

“Bermula 20 Disember ini, syarikat penerbangan baru, Batik Air dari lndonesia akan memulakan penerbangan terus antara Jakarta dan Kota Kinabalu,” katanya.

Mengenai Anugerah Pelancongan Sabah, beliau berkata program itu yang diadakan secara dwitahunan itu bagi mengiktiraf kecemerlangan semua pihak yang terbabit dalam industri pelancongan.

Antara lain, Pengarang Berita New Straits Times, Roy Goh, memenangi Anugerah Artikel Terbaik Pelancongan “Heart of Conservation” sekali gus menerima trofi dan sijil.

Anugerah itu satu daripada 14 yang diberikan kepada individu dan organisasi yang cemerlang dalam memberi sunbangan mereka kepada industri pelancongan.

Komen


Berita Berkaitan