Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pelancong Vietnam dijel kerana curi baju

curibaju

KUALA LUMPUR : Seorang pelancong wanita Vietnam menangis teresak-esak selepas Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadapnya kerana mencuri pakaian di sebuah pusat beli-belah.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhkan hukuman itu selepas To Thi Kim Thoa, 23, mengaku bersalah dan mengarahkannya menjalani hukuman itu bermula pada tarikh tangkap iaitu 11 Jun.

Wanita itu didakwa mencuri sehelai baju dan dua helai seluar bernilai RM475 di sebuah kedai di Bangsar Village di sini pada 5.40 petang hari berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

To hanya diam membisu di kandang tertuduh ketika mahkamah mengarahkannya membuat rayuan. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kes berasingan, seorang tukang jubin dipenjara tujuh hari selepas mengaku bersalah mencederakan rakannya menggunakan sebatang kayu tiga hari lepas.

Majistret Zuraini Abdul Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Kian Chet, 38, dan mengarahkannya menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap iaitu 20 Jun lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Ong Chuan Wan, 57, di tepi Jalan Jinjang Aman di sini pada 12.45 tengah hari 20 Jun.

Terdahulu, Lim yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah meringankan hukuman kerana perlu menjalani pembedahan untuk memotong kaki kanannya.

Mengikut fakta kes, Lim bertindak memukul bahagian kepala dan tangan kiri mangsa sehingga luka menggunakan sebatang kayu selepas gagal mendapatkan wang berjumlah RM20 yang dimintanya daripada mangsa.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri.

Sementara itu, seorang lelaki, Ariff Zakaria, 21, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Primang Abdul Wahid, 31, di Projek Perumahan Rakyat Taman Mulia di sini pada 3 petang 28 Mac lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Julai ini untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 

Komen


Berita Berkaitan