Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pelancong perlu fahami sensitiviti apabila melancong ke negara ini: Christina

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung isu pelancong wanita asing berpakaian kurang sopan apabila hanya memakai seluar dalam dan berbaju-T di kawasan Asia City, Kota Kinabalu yang tular di media sosial sejak dua hari lalu.

Timbalan Ketua Menteri, Christina Liew berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan bagi mengenalpasti pelancong berkenaan tanpa perlu membuat sebarang laporan polis.

“Kami melakukan siasatan sendiri. Bagaimanapun, sehingga kini, kami tiada maklumat mengenai identiti wanita ini. Ada kemungkinan mereka ini datang bersendirian tanpa menggunakan agen pelancongan. Kalau melalui agen agak mudah untuk kementerian mencari mereka ini.

“Namun, sekiranya wanita ini sudah ditemui, teguran akan diberikan,” katanya ketika diminta mengulas isu pelancong wanita berbikini yang menjadi bualan ramai netizen di media sosial selepas melancarkan Kempen Umbrelephant sempena sambutan Hari Gajah Sedunia di sini hari ini.

Christina menambah, pelancong harus memahami serta menghormati sensitiviti negara ini walaupun kerajaan mengalu-alukan mereka untuk melawat negeri ini, namun mereka mesti memahami tingkah laku apabila melancong di Sabah.

Katanya, kementeriannya tidak mahu isu sensitiviti agama dan kaum di negeri ini dipandang ringan dan tidak dihormati dalam kalangan pelancong seperti sekumpulan pelancong yang menari di atas pagar Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

Justeru, beliau juga meminta pihak hotel dan orang ramai agar menjalankan tanggungjawab menegur para pelancong asing sekiranya didapati berkelakuan kurang sopan termasuk mengenakan pakaian tidak senonoh ketika melancong di negeri ini. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan