Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,652

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pelancong ke Sabah meningkat

6:56am 29/10/2016 Leolerry Lajius 21 views Kota Kinabalu,Pelancongan,Tempatan,YB Datuk Haji Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Jumlah pelancong ke Sabah sehingga Julai 2016 meningkat sebanyak 5.5 peratus iaitu 1,819,627 berbanding tahun lepas, 1,725,334 orang.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata peningkatan tersebut melibatkan pelancong antarabangsa sebanyak 13 peratus, walau bagaimanapun ketibaan pelancong domestik menurun sebanyak 0.4 peratus.

“Antara penyebab penurunan ketibaan pelancong domestik adalah GST dan ingin saya sarankan kepada kerajaan untuk menyemak semula GST dalam pelancongan domestik kerana pelancongan domestik ini merupakan penyelamat kepada industri pelancongan negara.

“Walaupun cukai GST ini tidak dimansuhkan, mungkin kadarnya dapat dikurangkan bagi menggalakkan pelancongan domestik dan membantu merancakkan ekonomi negeri serta membuka peluang-peluang pekerjaan.

“Kehadiran pelancong China dari tahun lepas adalah meningkat sebanyak 48.2 peratus, Korea 40 peratus dan Taiwan 27 peratus,” jelasnya.

Menurut Masidi, berdasarkan kajian demografi, 85 peratus pelancong merupakan mereka berumur di bawah 50 tahun dan 58 peratus yang bercuti ke Sabah merupakan golongan wanita.

“Daripada jumlah itu, 89.2 peratus datang kerana bercuti dan 3.4 peratus datang atas urusan kerja.

“Selain itu, 58.6 peratus datang secara FIT berbanding hanya 11 peratus sahaja yang menggunakan syarikat pelancongan, sementara 15 peratus merupakan pelancong berulang, 34 peratus golongan profesional dan teknikal serta 21.3 peratus pelajar dan pesara,” tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru pengusaha-pengusaha syarikat pelancongan untuk menggunakan sepenuhnya teknologi ICT terutamanya media sosial bagi mempromosikan produk-produk pelancongan.

Masidi berkata demikian ketika menyampaikan ceramah dalam Program Lesa Ilmu bertajuk ‘Memimpin Pelancongan Sabah Menempuh Cabaran Getir Semasa’ anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Sabah, di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, Pengarah Program merangkap Perunding Latihan Kanan INTAN, Humfrey J. Suimin berkata penganjuran Program Bitara INTAN merupakan platform kepada tetamu jemputan yang terdiri daripada individu-individu yang berjaya dalam bidang masing-masing untuk berkongsian ilmu.
Seramai 300 peserta yang terdiri daripada penjawat awam menyertai program berkenaan./PENERANGAN

Masidi berkongsi ilmu bersama para peserta Lesa Ilmu anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Sabah.-PENERANGAN

Masidi berkongsi ilmu bersama para peserta Lesa Ilmu anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Sabah.-PENERANGAN

 

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan