Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pelan Strategik Transformasi tingkat peranan Kumpulan Yayasan Sabah

Musa semasa berucap di majlis tersebut. - foto Jimmy Tan / Sayangsabah
Musa semasa berucap di majlis tersebut. – foto Jimmy Tan / Sayangsabah

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata Kumpulan Yayasan Sabah memberikan penekanan serius terhadap usaha penambaikan melalui Pelan Strategik Transformasi untuk terus maju ke hadapan.

Berucap di majlis Makan Malam Kumpulan Yayasan Sabah, di Magellan Sutera Habour Resort di sini hari ini, beliau berkata, melalui pelan tersebut Kumpulan Yayasan Sabah akan terus dapat memainkan peranan dan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

“Jatuh bangunnya sesebuah organisasi itu bukan terletak di bahu seseorang individu, tetapi ia memerlukan sokongan semua warga (tenaga manusia) untuk bekerja secara berpasukan,” katanya sambil menambah kejayaan dan keberkesanan tenaga manusia pula terletak kepada pemimpin yang cekap dan berwibawa.

Beliau berkata, kumpulan Yayasan Sabah telah berkembang dengan cemerlang sejak penubuhannya berkat komitmen para pemimpin masa lalu yang cekap, berani dan berpandangan jauh.

“Kini, tibalah masanya untuk kita menyambung segala usaha dan kerja keras mereka demi mencapai kegemilangan yang lebih hebat pada tahun-tahun mendatang,” tambah beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan warga Kumpulan Yayasan Sabah supaya terus berjuang untuk memastikan bahawa kumpulan itu terus unggul dan seterusnya mampu menjamin program sosial dapat dinikmati oleh generasi kini dan akan datang.

“Selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, saya bersama-sama dengan Ahli-Ahli Lembaga akan terus komited untuk memimpin, memberi nasihat dan sokongan kepada pihak pengurusan demi pembangunan dan kejayaan organisasi ini,” katanya.

Dalam pada itu, Musa turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Datu Khalil Datu Haji Jamalul atas komitmen tinggi dan perkhidmatan cemerlang dalam membantu kerajaan negeri merealisasikan pelaksanaan pelbagai program pembangunan, sepanjang berkhidmat sebagai Pengarah Yayasan Sabah dan seterusnya Pengerusi Eksekutif ICSB.

Pada majlis itu, Kumpulan Yayasan Sabah  memberi penganugerahan kepada warga kerja dengan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Jubli Perak Dan Anugerah Jasamu Dikenang. – Oleh NUZIR ANDI SAMSIAR / Sayangsabah

Komen


Berita Berkaitan