Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pelajar Tahun 6 berdepan dengan UPSR

jame alip

KOTA KINABALU: Seramai 45,361 orang murid bakal menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di lebih 1000 pusat peperiksaan di seluruh negeri yang akan bermula Selasa.

 

Daripada jumlah itu, 39,420 adalah calon dari Sekolah Kebangsaan (SK), 5,564 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) dan 377 calon dari Sekolah Swasta.

 

Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Jame Alip bagaimanapun berkata, terdapat penurunan daripada jumlah calon pada tahun ini iaitu seramai 1,005 orang calon berbanding 46,366 calon pada tahun 2013.

 

“Jabatan Pendidikan Negeri melalui Sektor Penilaian & Peperiksaan bersama Unit Penilaian & Peperiksaan, Pejabat Pendidikan Daerah di seluruh negeri Sabah telah melantik seramai 4,658 petugas yang terdiri daripada Ketua Pengawas, Timbalan Ketua Pengawas, Penolong Pengawas dan Pengemas Bilik untuk mengendalikan peperiksaan ini,” katanya pada sidang media di Jabatan Pendidikan Negeri di sini hari ini.

 

Peperiksaan ini akan dilaksanakan serentak di seluruh negara bermula 9, 10 dan 11 September 2014.

Bagi calon SK, mereka akan menduduki 5 mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu (Pemahaman & Penulisan), Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

 

Manakala bagi calon SRJK, mereka akan menduduki 7 mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu Pemahaman, Bahasa Melayu Penulisan), Bahasa Inggeris, Bahasa Cina Pemahaman, Bahasa Cina Penulisan  Matematik dan Sains.

 

Sehubungan dengan itu, Jame  mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah supaya menyediakan langkah-langkah proaktif bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir berlaku berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

 

“Justeru itu, saya amat berharap agar semua Pegawai Pendidikan Daerah dapat mengaktifkan Jawatankuasa Keselamatan Peperiksaan Awam daerah masing-masing,” katanya.

 

Menurutnya, mereka perlu membuat penyelarasan bersama agensi lain di setiap daerah masing-masing dalam memastikan setiap calon dapat menduduki peperiksaan ini.

 

Beliau turut yakin bahawa semua pegawai pendidikan telahpun mewujudkan Bilik Gerakan Upsr PPD masing-masing dan aksn menghantar laporan harian mengenai keadaan peperiksaan kepada ibu pejabat Jabatan Pendidikan Negeri.

 

Jame juga menasihati para ibu bapa dan penjaga kepada calon agar memastikan calon dapat hadir awal ke pusat peperiksaan.

 

“Kepada anak-anak yang akan menduduki ujian ini, lakukanlah yang terbaik. Saya yakin dan penuh percaya anak-anak telahpun berusaha bersungguh-sungguh,” katanya.

 

“Sentiasalah menyemak Jadual Waktu Peperiksaan serta membawa kelengkapan peperiksaan yang secukupnya ” katanya.

 

Beliau turut memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak sekolah khususnya Guru Besar jika didapati sengaja menghalang calon dari menduduki peperiksaan itu.

 

“Elakkan daripada menghalang mana-mana calon daripada mengambil peperiksaan dengan apa-apa alasan sekalipun, walaupun bertujuan untuk memastikan peningkatan prestasi keseluruhan sekolah,” tegas beliau. Oleh NUZIR ANDI SAMSIAR

Komen


Berita Berkaitan