Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,655

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pelajar OKU UIA Azam Tawan Gunung Kinabalu

9:36am 01/02/2016 Pak Roshan 617 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

oku

KUNDASANG : “Hanya ‘segenggam’ sahaja lagi untuk saya sampai di puncak Gunung Kinabalu…dah begitu hampir tapi mereka nasihatkan cuba lagi di lain kali.”

Demikian luahan Azzrulkhan Hasrullah Matsah, 24, pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang misinya menawan puncak gunung tertinggi Asia Tenggara itu tidak kesampaian walaupun sudah berjaya mendaki hingga ke Sayat-Sayat iaitu pada ketinggian 3,668.10 meter.

Azzrulkhan Hasrullah atau lebih mesra dipanggil Adam, pelajar tahun akhir bidang Komunikasi berkata beliau bersama 30 ahli rombongan lain tiba di Sayat-Sayat pada pukul 7 pagi tadi dan terpaksa akur dengan nasihat pihak berkenaan supaya menamatkan pendakian di situ berdasarkan faktor masa serta keselamatan.

“Perasaan saya bercampur-baur. Gembira pun ada kecewa pun ada. Kalau diberi lebih masa, saya yakin boleh sampai ke puncak Gunung Kinabalu.

“Kalau saya teruskan pendakian hari ini, mungkin saya boleh sampai ke puncak pada pukul 10 pagi. Pada masa hadapan, kalau saya mahu ulang pendakian ini, saya perlu ambil pakej tiga hari dua malam,” katanya.

Menceritakan pengalamannya, Adam yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah sejak lahir dan mendaki secara merangkak menggunakan kekuatan kedua-dua tangan berkata, beliau yang ditemani malim gunung diberi keistimewaan memulakan dari Pintu Timpohon ke Laban Rata kira-kira pukul 6 pagi semalam.

Katanya semasa memulakan pendakian, dalam fikirannya cuma memikirkan untuk menikmatinya dan beliau berupaya mendaki sejauh 500 meter dalam tempoh sejam bagi beberapa kilometer pertama.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak dapat mengekalkan rentak dan kelajuan pendakiannya itu kerana laluan kian curam di samping suhu yang semakin rendah.

Sasarannya ialah untuk sampai di Pondok Layang-Layang pada pukul 2 petang tetapi ia tersasar sejam.

“Suhu semakin rendah selepas 5km pendakian, tangan saya juga mulai lenguh dan seperti sudah keras. Jadi perlahanlah pergerakan saya. Selepas 5km itu, pengiring saya, Dr Ramli menasihatkan supaya saya didukung sahaja oleh malim gunung ke Laban Rata.

“Kalau ikutkan hati, memang saya tak nak didukung. Saya mahu mendaki sendiri. Tetapi memikirkan anggota rombongan yang lain, saya terpaksa akur,” katanya.

Menurut Adam dia memulakan pendakian ke Sayat-Sayat pada pukul 1 pagi tadi dan di beberapa lokasi tertentu yang curam dan bahaya, beliau terpaksa didukung.

Katanya seluar yang koyak dan lututnya yang melecet menyukarkan lagi misi untuk sampai ke puncak Gunung Kinabalu.

Semasa turun dari Sayat-Sayat, Adam didukung secara berganti-ganti dan sampai ke kawasan pejabat pentadbiran Taman Kinabalu kira-kira pukul 4 petang.

Sementara itu, Pengarah Projek OKU Cabaran Gunung Kinabalu 2016 Mohd Arif Bahrom berkata projek berkenaan dikendalikan Persatuan Anak Gunung Malaysia dan pendakian berkenaan mendapat tajaan pelbagai pihak yang bertujuan mencabar setiap rakyat Malaysia mencapai impian mereka.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan