Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,669

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pelaburan Di POIC Lahad Datu Cecah RM3.4 Bilion

raymond1-600x367

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Raymond Tan Shu Kiah

KOTA KINABALU : Sebanyak 44 buah syarikat melabur di Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu, dengan nilai pelaburan mencecah RM3.4 bilion sehingga Julai tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Raymond Tan Shu Kiah berkata pelaburan tersebut meliputi industri biodiesel, kilang penapisan isirung minyak sawit, logistik dan pergudangan, pembangunan hartanah, pembuatan baja serta industri sokongan.

“Pelaburan ini merangkumi kawasan seluas 460.94 ekar (186.5 hektar),” katanya ketika menjawab soalan Chan Foong Hin (DAP-Sri Tanjong) semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Tan yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah berkata daripada jumlah RM3.4 bilion itu, sebanyak RM1.8 bilion telah direalisasikan yang melibatkan pembinaan 21 kilang atau gudang yang sudah siap manakala tiga lagi kilang atau gudang masih dalam pembinaan di tapak POIC itu.

Sebanyak 20 pelabur pula sedang dalam proses perancangan untuk membina tapak-tapak projek mereka dalam masa terdekat, katanya.

Sementara itu bagi POIC Sandakan, beliau berkata nilai pelaburan yang diterima setakat ini ialah sebanyak RM158 juta melalui pelaksanaan tiga projek yang berjaya mewujudkan 160 peluang pekerjaan.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Wong Hong Yan (DAP-Likas), Tan berkata kementeriannya dengan kerjasama agensi persekutuan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti bagi meningkatkan jumlah pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melibatkan 800 usahawan setahun.

Katanya setakat ini sebanyak 40 usahawan PKS di Sabah sudah berjaya mengeksport produk mereka keluar negara secara aktif.

Menurutnya, kerajaan negeri Sabah juga akan menubuhkan satu pusat yang dinamakan Pusat Perkhidmatan Bekalan (SSO) sebagai platform lengkap bagi rantaian bekalan PKS di Sabah.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan