Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pegawai Polis Teresak-esak Ceritakan Saat Tragik Rakan Sebelum Gugur

simunul

KOTA KINABALU– Seorang pegawai Cawangan Khas Bukit Aman mengalirkan air mata di mahkamah hari ini, semasa menceritakan saat tragik dialami rakan-rakannya selepas mengalami kecederaan yang membawa kepada kematian mereka dalam serbuan di sebuah kampung air Kampung Sri Jaya, Simunul di Semporna pada 2 Mac tahun lepas.

Sarjan Mejar Mohd Zamari Suhot mula teresak-esak semasa mengimbas kembali keadaan mendiang ASP Michael Padel yang terkena tembakan, berjalan terhuyung-hayang ke arahnya sambil menjerit “tolong, tolong” sebelum rebah.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa Padel sampai ke rumah nombor 27 yang dipercayai suspek kes pencerobohan Lahad Datu dikenali ‘Imam Tua’, bersembunyi di rumah itu, dan memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis.

“Selepas pintu dibuka (selepas mendiang Michael memperkenalkan diri), tiba-tiba tembakan secara automatik dilepaskan dari dalam rumah,” katanya.

Mohd Zamari berkata dalam insiden pukul 7.30 malam itu, beliau melihat percikan api dan bunyi tembakan dari rumah itu dan segera menjerit “down” (meniarap) kepada anggota polis yang terbabit dalam serbuan itu untuk menyelamatkan diri.

“Pada masa itu juga, saya lihat Allahyarham Superintenden Ibrahim Lebar dan ASP Mohamad Hasnal Jamil masih berdiri. Selepas saya jerit ‘down’ untuk kali kedua, mereka terus ambil kedudukan meniarap di sebelah saya,” katanya.

Mohd Zamari, saksi pihak pendakwaan ke-35 berkata semasa ketiga-tiga mereka meniarap, beliau terdengar Ibrahim dan Mohamad Hasnal memberitahunya yang mereka terkena tembakan dan selepas itu beliau melihat seorang lelaki berpakaian putih keluar dari rumah nombor 26 dan menuju ke arah Ibrahim.

Sekali lagi sarjan mejar itu cuba mengawal emosinya semasa menceritakan bahawa lelaki berpakaian putih itu mengeluarkan objek tajam yang panjang dan menetak kepala Ibrahim.

Selepas berhenti kira-kira 10 minit untuk membolehkan saksi mengawal emosinya, Mohd Zamari memberitahu mahkamah bahawa beliau bergolek dan jatuh ke laut untuk menyelamatkan dirinya, kerana beliau tidak membawa senjata dalam serbuan itu.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Wahab Mohamed tentang apa yang beliau nampak semasa berada dalam air, Mohd Zamari kembali teresak-esak semasa memberitahu mahkamah bahawa beliau melihat lelaki berpakaian putih itu menetak kepala Ibrahim beberapa kali sebelum kembali ke rumah nombor 26.

Mohd Zamari berkata beliau juga mendengar bunyi azan semasa tembakan itu berterusan dan ia berhenti sebaik sahaja azan selesai.

Tiga puluh tertuduh, terdiri daripada 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan dalm kes ini, dengan sesetengah mereka menghadapi tuduhan menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, mencari anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.

Komen


Berita Berkaitan