Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,666

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pegawai Polis Pendekkan Cuti Untuk Tangani Kes Pencerobohan Lahad Datu

8:26am 15/12/2015 Pak Roshan 95 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

tanduo

KOTA KINABALU : Seorang pegawai polis memendekkan cutinya untuk sambutan Tahun Baharu Cina bagi membolehkan beliau menangani kes pencerobohan Lahad Datu, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini (Isnin).

Pegawai Undang-Undang polis kontinjen Sabah, DSP Ang Seow Aun berkata sebaik sahaja dimaklumkan bahawa pencerobohan bersenjata berlaku pada 12 Feb, 2013, beliau terus bersiap untuk kembali bertugas bagi membantu siasatan.

Pada 2013, Tahun Baharu Cina disambut pada 10 dan 11 Feb .

Pada 12 Feb 2013, saya sedang bercuti untuk menyambut Tahun Baharu Cina dan pada lewat petang, saya menerima panggilan telefon daripada Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Samsuddin Mat.

“Beliau memaklumkan saya berkenaan dengan insiden pencerobohan di Kampung Tanduo dan saya terus membuat urusan untuk balik ke ibu pejabat polis daerah Lahad Datu,” kata beliau ketika memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan insiden pencerobohan oleh kumpulan lelaki Sulu bersenjata.

Ang, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Lahad Datu ketika itu, berkata beliau kembali ke ibu pejabat polis pada hari berikut dan terus ke Kampung Tanjung Labian bersama-sama Samsuddin untuk menilai keadaan.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, saksi itu berkata beliau telah menyemak Sistem Laporan Polis berhubung laporan polis yang dibuat mengenai pencerobohan dan mendapati satu laporan dibuat oleh individu bernama Mohd Ali Asmali.

“Setelah melihat laporan polis itu (oleh Mohd Ali), saya telah merujuk perkara itu kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah SAC Omar Mammah yang mengarahkan saya untuk merujuk perkara itu kepada Ketua Perundangan Bukit Aman Datuk Razali Basri.

“Datuk Razali kemudian mengarahkan saya untuk mengklasifikasikan laporan polis itu di bawah Seksyen 130C Kanun Keseksaan dan membuka satu kertas siasatan,” katanya.

Ang memberitahu mahkamah bahawa beliau sedia maklum bahawa tiga pertemuan telah diadakan antara pasukan keselamatran dan penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo pada 14 hingga 16 Feb, 2013.

Dalam kandang tertuduh ialah 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan yang menghadapi satu hingga pelbagai pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga dituduh merekrut anggota bagi menyertai kumpulan pengganas atau secara sengaja melindungi individu yang mereka tahu ialah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April, 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan