Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pegawai Forensik Buat Pengecaman Lebih 100 Barang Kes ‘Ops Daulat’ Di Mahkamah

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

KOTA KINABALU : Seorang pegawai forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat pengecaman terhadap lebih 100 barang kes yang dirampas dalam operasi berkaitan pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah, yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi di sini Jumaat.

Barang berkenaan adalah yang diterima ketua pasukan forensik DSP Zuraimi Zam Zam daripada pegawai risik Insp Jamirin Kintai pada 13 Mac 2013 untuk dibuat pemeriksaan.

Antara barang itu ialah senjata api, peluru, pisau, pakaian dan lambang berkaitan apa yang dikenali sebagai Tentera Sulu, dijumpai satu pasukan daripada Batalion Ke-11 Pasukan Gerakan Am PDRM.

Zuraimi, yang kini bertugas sebagai Pegawai Turus D10 (Forensik), Kontinjen Polis Kuala Lumpur, memberitahu mahkamah bahawa setiap barang berkenaan dibungkus secara berasingan oleh anggota pasukannya dan beliau meletakkan tanda bagi setiap satu daripadanya.

Beliau membuat pengecaman terhadap barang kes itu dalam perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan bersenjata oleh kumpulan lelaki Sulu di Kampung Tanduo pada Februari 2013.

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April, 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung pada 10 Ogos.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan