Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pecah kereta: Pelajar 14 tahun antara ditangkap

ipd 3
RAMPAS… Barang-barang yang dirampas daripada suspek remaja terbabit. – foto ALEX MAIRIN / Sayangsabah

KOTA KINABALU – Empat remaja termasuk dua pelajar sekolah menengah, ditahan polis selepas disyaki terbabit dengan beberapa kes jenayah pecah kenderaan di sekitar Luyang dan Bukit Padang yang melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM20,600.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner M.Chandra berkata, semua remaja berumur antara 14 hingga 22 tahun itu ditahan sepasukan polis dalam serbuan kira-kira jam 9.00 malam di Kampung Kolam Damai, Luyang di sini pada 24 Februari lepas.

“Dalam serbuan itu polis turut merampas beberapa barangan dipercayai hasil kegiatan pecah kenderaan daripada semua suspek,” katanya pada sidang media di Ibupejabat Polis Daerah, Karamunsing di sini hari ini.

Beliau berkata, tangkapan tersebut adalah hasil siasatan yang dijalankan berhubung laporan yang dibuat oleh seorang lelaki berumur 35 tahun yang mendakwa kenderaannya dipecah pada 16 Februari lepas di kawasan meletak kenderaan Taman Tun Fuad, Bukit Padang di sini.

Dalam kejadian itu, pengadu yang baru balik dari berjogging mendapati kenderaan miliknya telah dipecah masuk dan beberapa barang peribadi telah dicuri mengakibatkan kerugian sebanyak RM2,400 termasuk wang tunai RM400.

“Siasatan awal polis mendapati cermin kenderaan pengadu telah diumpil oleh suspek berkenaan,” katanya lagi sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Katanya, siasatan lanjut polis mendapati semua suspek turut terlibat sekurang-kurangnya empat kes yang dilaporkan berlaku antara November dan Disember tahun lepas yang melibatkan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM18,500.

“Polis percaya dengan tertangkapnya semua suspek tersebut, beberapa kes pecah kenderaan khususnya di sekitar Luyang dan Bukit Padang dapat diselesaikan,” katanya lagi.
– Oleh NUZIR ANDI SAMSIAR / Sayangsabah

Komen


Berita Berkaitan