Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pecah Amanah: Isteri Dihukum Penjara 16 Tahun, Suami Penjara 16 Bulan

pecah amanah

SHAH ALAM: “Walaupun tertuduh adalah pasangan suami isteri dan mempunyai tiga orang anak, namun kepentingan awam harus diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.

“Keluarga tertuduh juga berkemungkinan telah menikmati hasil jenayah tersebut,” kata Hakim Mahkamah Sesyen di sini sebelum menjatuhkan hukuman penjara terhadap pasangan suami isteri bagi kesalahan pecah amanah RM643,897.

Hakim Noradidah Ahmad menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun terhadap Mai Shahira Ishak, 37, dan penjara 16 bulan terhadap suaminya Saidina Azzuanira Saidina Othman, 43, setelah masing-masing mengaku bersalah atas dua pertuduhan pindaan.

Noradidah memerintahkan Mai Shahira menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun bagi kesalahan pertama dan sembilan tahun bagi kesalahan kedua manakala Saidina Azzuanira hukuman penjara selama enam bulan bagi tuduhan pertama dan 10 bulan bagi tuduhan kedua.

Bagaimanapun Mai Shahira hanya perlu menjalani hukuman penjara sembilan tahun dan suaminya 10 bulan selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkap 14 Mei lalu.

Bagi pertuduhan pindaan pertama, Mai Shahira yang merupakan bekas eksekutif syarikat logistik UTI Worldwide (M) Sdn Bhd didakwa melakukan pecah amanah dengan membuat pembayaran menggunakan cek bernilai RM611,857 kepada Mai Trading milik suaminya yang tidak mempunyai apa-apa hubungan perniagaan dengan syarikat beliau bekerja.

Pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan yang sama dengan menggunakan cek RM32,040 kepada pihak yang sama.

Kesalahan pertama dilakukan antara 4 Jan hingga 28 Dis 2012 dan kesalahan kedua antara 2 Jan hingga 30 Jan tahun lepas di No 43-02-1, Lorong Batu Nilam 1A, Bandar Bukit Tinggi, Klang.

Saidina Azzuanira, bekas pemandu peribadi pula didakwa atas dua pertuduhan pindaan menolong memindahkan wang iaitu masing-masing berjumlah RM611,857 dan RM32,040 dalam akaun Hong Leong Bank ke syarikatnya sendiri.

Dia melakukan kesalahan itu di Hong Leong Bank Berhad cawangan Pelabuhan Klang pada tarikh yang sama seperti yang dilakukan oleh isterinya.

Ketika menjatuhkan hukuman, Noradidah juga berkata pengakuan salah kedua-dua tertuduh hanya berlaku setelah 14 hari perbicaraan yang melibatkan empat orang saksi serta hampir 500 eksibit membabitkan akaun syarikat dikemukakan.

Katanya syarikat tempat tertuduh pertama bekerja juga telah mengalami kerugian dan perlu menunggu terlalu lama untuk memperoleh semula harta yang dicuri walaupun Mai Shahira telah diisytihar sebagai bankrap.

Terdahulu peguam Daniel Amir yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan mengambil kira pengakuan salah serta kedua-duanya perlu menyara tiga anak mereka yang berusia tujuh hingga 14 tahun.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Siti Syuhada Alwi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada orang lain ekoran bertambahnya jenayah kolar putih.

Sementara itu selepas prosiding, kelihatan beberapa anggota keluarga tertuduh menangis teresak-esak dan saling berpelukan sebelum tertuduh dibawa ke penjara. — BERNAMA -SUMBER PHOTO- Kosmo

Komen


Berita Berkaitan