Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

PBT diminta segera baiki kerosakan di Jalan Giok-Poring, Ranau

LEE Pun Yee  menunjukkan gambar jalanraya yang perlu dibaiki segera. - Foto JIMMY TAN / Sayangsabah
LEE Pun Yee menunjukkan gambarnya ketika melawat jalan raya rosak dan perlu dibaiki segera. – Foto JIMMY TAN / Sayangsabah

KOTA KINABALU – Persatuan Hak Asasi Rakyat Sabah meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkenaan agar membaiki jalanraya di Jalan Giok – Poring, Ranau kira-kira 148 Kilometer dari sini, yang telah rosak sejak dua tahun lalu.

Presidennya, Lee Pun Yee berkata, jalanraya tersebut perlu dibaiki segera kerana ia merupakan laluan utama ke satu kawasan lodge untuk kemudahan pelancong asing dan tempatan menginap atau mengadakan aktiviti riadah lain.

“Namun, sejak dua tahun lalu kawasan tersebut kurang mendapat sambutan daripada pelancong berikutan keadaan jalanraya yang teruk dan sukar dilalui oleh kenderaan,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Foh Sang, di sini hari ini.

Menurutnya, keadaan tersebut mengakibatkan terdapat pengusaha chalet pelancongan yang terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu menampung kos operasi perniagaan masing-masing.

“Situasi itu sudah pasti memberi kesan negatif terhadap pembangunan industri pelancongan di negeri ini,” tambah beliau.

Sementara itu, pengurus sebuah lodge pelancongan di kawasan itu berkata, sejak kebelakangan ini, kehadiran pelancong terutama rakyat tempatan kurang memberangsangkan.

“Ada pelancong tempatan yang membatalkan niat untuk menginap sebaik sahaja melihat keadaan jalanraya yang rosak,” katanya yang mahu dikenali sebagai Joe ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, beliau pernah menghantar aduan kepada Majlis Daerah Ranau bagi memaklumkan mengenai masalah tersebut, namun belum mendapat maklum balas yang positif sehingga kini.

“Saya hairan mengapa masalah jalanraya sepanjang hanya 1 kilometer itu langsung tidak diberikan perhatian oleh pihak yang berkaitan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkenaan agar dapat membaiki dan membina segera jalanraya di laluan terbabit bagi membantu meningkatkan pendapatan industri pelancongan khususnya kalangan usahawan sektor tersebut.

Laluan yang terletak hanya kira-kira 400 meter dari Kolam Air Panas Poring itu menempatkan lodge penginapan untuk pelancong luar sama ada secara berkumpulan atau perseorangan.
– Oleh NUZIR ANDI SAMSIAR / Sayangsabah

Komen


Berita Berkaitan