Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,809

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

PBS Tubuh Dua Jawatankuasa Peringkat Tinggi Untuk Kembalikan Hak Sabah

9:33am 23/08/2016 Pak Roshan 1279 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

ongkili

KUNDASANG : Parti Bersatu Sabah (PBS) akan menubuhkan dua jawatankuasa peringkat tertinggi mengenai Borneonisasi dan penurunan kuasa untuk mengembalikan apa yang secara sah adalah milik Sabah dan rakyat negeri ini.

Ketika mengumumkan demikian hari ini, pemangku Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, kedua-dua isu itu telah menjadi topik perbincangan yang tidak berkesudahan dan digunakan oleh sesetengah pihak untuk mengelirukan rakyat.

“Kita perlu mempertahankan apa yang masih ada dan mengembalikan apa yang telah terhakis,” katanya kepada hampir 200 peserta Seminar Kepimpinan PBS di Kem Bina Negara, di sini, yang berakhir hari ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu membentangkan kertas kerja bertajuk “Memahami Perjanjian Malaysia 1963”.

Ongkili berkata beliau akan mengetuai jawatankuasa utama mengenai penurunan kuasa sementara Naib Presiden Kanan PBS Datuk Radin Malleh akan mempengerusikan Jawatankuasa peringkat Tertinggi mengenai Borneonisasi.

Ongkili berkata, kedua-dua jawatankuasa akan disokong oleh pasukan teknikal terdiri daripada ahli-ahli politik kanan dan peguam parti yang arif dalam pelbagai bidang serta bekas kakitangan awam kanan yang ditugaskan untuk mengkaji dan menganalisis isu-isu berkaitan dan dapatan.

Jawatankuasa tersebut kemudian akan mencadangkan penyelesaian yang akan dikemukakan kepada kepimpinan parti dan seterusnya kepada kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Ongkili, yang baru-baru ini ditugaskan untuk menjalankan tugas sebagai presiden parti menambah: “Jawatankuasa akan mengkaji apa yang dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963 berkaitan kedua-dua isu dan mengesyorkan tindakan remedi”.

Beliau berkata, adalah penting untuk mengkaji perkara-perkara yang dijanjikan dalam perjanjian berkaitan Borneonisasi, untuk memastikan penglibatan optimum masyarakat di Sabah, terutama penduduk pribumi, dalam perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkaitan kenaikan pangkat, pemberian biasiswa dan latihan.

Seminar bagi Zon Utara terdiri daripada bahagian Tanjung Kapor, Pitas, Matunggong, Tandek, Tempasuk, Kadamaian dan Usukan, ialah yang pertama daripada lapan siri untuk ahli-ahli jawatankuasa bahagian PBS, termasuk dari sayap Pemuda dan Wanita dari seluruh negeri.

Seminar anjuran Biro Latihan parti yang dipengerusikan oleh Ongkili, bertujuan mengimbas kembali perjuangan parti dan memberi makluman terkini kepada pemimpin parti peringkat akar umbi mengenai isu-isu semasa dan langkah-langkah untuk menanganinya selain sebagai persiapan bagi mereka untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan