Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Paus Orca ditemui di Sipadan

KOTA KINABALU: Sekumpulan penyelam di perairan Pulau Sipadan, Semporna, di pantai timur Sabah, menemui sekumpulan paus Orca, akhir minggu lalu.

Penemuan spesies paus berkenaan di kawasan tropika adalah sesuatu yang menarik memandangkan kebanyakan paus jenis pembunuh itu biasanya hanya ditemui di perairan sejuk.

Pada Ahad lalu, sekumpulan 14 penyelam tempatan dan asing ternampak kelibat paus berkenaan selepas selesai menyelam di satu lokasi perairan di pulau terbabit, pada kira-kira jam 11 pagi.

Seorang daripada penyelam terbabit, Faridzul Adzli Mad Adim, 32, berkata ketika itu beliau bersama beberapa penyelam warga Sweden, Hungary dan China baru keluar dari dalam laut selepas menyelam.

“Pengendali bot tiba-tiba menyuruh kami segera naik ke dalam bot untuk beredar ke kawasan laut terbuka. Kami tertanya-tanya apa berlaku dan dia kata seekor paus Orca baru saja melompat dari permukaan laut,” katanya.

Katanya, selepas dimaklumkan mengenai perkara itu, mereka memerhatikan perairan sekitar dan beredar dari lokasi penyelaman sebelum tiba-tiba seekor paus Orca melompat dari dalam air kira-kira lima meter di hadapan mereka.

Katanya, dianggarkan ada lapan paus Orca kelihatan dalam kumpulan berkenaan yang berenang menjauhi bot mereka ketika cuba dihampiri.

“Kami melihat kelibat paus itu selama kira-kira 30 minit. Ini kali pertama bagi kami melihat mamalia laut itu dan masing-masing terkejut kerana ia muncul di perairan ini,” katanya.

Bagaimanapun, difahamkan ia bukan kali pertama paus dari keluarga ikan lumba-lumba itu ditemui di Sabah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Ahemad Sade, berkata pihaknya tidak pasti sama ada paus yang dimaksudkan adalah Orca atau ikan jenis lain.

“Kita perlu pastikan sama ada spesies itu adalah Orca atau spesies ikan lumba-lumba lain yang kelihatan seperti paus pembunuh,” katanya. – BH Online

 

 

Komen


Berita Berkaitan