Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

PAULUS JIMIT DAN JELIUS ARURUNG DAPAT PERHATIAN PEMANGKU PRESIDEN SAFA

TAMBUNAN: Penderitaan Paulus Jimit @ Mohd Firdaus dan Jelius Arurung mendapat perhatian Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Peter Anthony.

Peter berkata kedua-dua bekas pemain Sabah yang kini sakit itu akan diberi bantuan sewajarnya bagi meringankan beban mereka.

Datuk Peter Anthony bersalaman dengan Paulus Jimit. Gambar SNT/Ihsan SNT

Paulus, 57, kini lumpuh sebelah badan dan tidak dapat bertutur kerana serangan angin ahmar sejak 2015 manakala Jelius kehilangan penglihatan disebabkan masalah buah pinggang.

Peter berkata selain bantuan kewangan untuk kedua-dua bekas pemain itu, SAFA juga akan membina rumah untuk Paulus.

Paulus kini menetap di kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) Tambunan yang dalam keadaan tidak selesa untuk mereka sekeluarga.

Peter dan pasukan Tambadau Sabah bergambar kenangan dengan Paulus. Gambar SNT/Ihsan Safa

Beliau mengumumkan pembinaan rumah untuk Paulus itu semasa mengetuai rombongan SAFA yang turut disertai bekas pemain Sabah dan anggota skuad Tambadau Sabah melawat bekas pemain berkenaan di kediamannya, Jumaat.

“Kita tahu Paulus tidak memiliki rumah tetap atau rumah sendiri dan masih menetap di kuaters JKR dan oleh sebab itu kami akan membina sebuah rumah baru untuk keluarga beliau.

“Dengan sumbangan ini, termasuklah kutipan derma sempena perlawanan amal malam ini (semalam), kita harap akan dapat meringankan beban kepada Paulus dan juga seorang lagi bekas pemain kita, Jelius Arurung yang mengalami masalah penglihatan,” katanya.

Peter berkata, rumah itu akan dibina di tanah Paulus sendiri di Tambunan secepat mungkin agar dia dan keluarganya dapat mendiami rumah yang lebih selesa dan sewajarnya sebagai bekas pemain yang pernah mengharumkan nama negeri dalam sukan bola sepak.

Keadaan Paulus dan Jelius juga memberi ilham kepadanya agar SAFA dapat merangka satu pelan persaraan untuk bekas pemain Sabah bagi memastikan kebajikan mereka terjaga selepas bersara dari bola sepak.

Paulus adalah bekas pemain Sabah yang menyarung jersi pasukan itu sejak 1970-an hingga 1990 dan pernah bergandingan dengan dua legenda negara dari Sabah, Datuk James Wong dan Datuk Hassan Sani.

Beliau juga pernah dipanggil menyertai skuad belia Malaysia ke kejohanan sukan di UAE pada 1981.

Pada 1983 beliau dipanggil mewakili skuad Harimau Malaya namun terpaksa menolaknya kerana komitmen kerja JKR.

Tahun terakhir beliau beraksi bersama Sabah ialah pada 1990 bersama-sama dengan legenda bola sepak Sabah seperti Matlan Marjan dan Henry Anjun sebelum dilantik sebagai jurulatih skuad bawah 16 tahun Sabah.

Antara yangg paling diingati tentang Paulus ialah rembatan pelurunya yang digeruni benteng dan penjaga gol lawan, kemampuan menjaringkan gol dari jarak jauh dan sepakan sudut.

Paulus dan isterinya, Sharifah Sudin dikurniakan enam anak.

Sambil itu, Sharifah bersyukur dan berterima kasih kepada SAFA terutamanya Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrstruktur kerana bukan sahaja mengambil perhatian keadaan suaminya tetapi turut datang melawat mereka.-SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan