Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,808

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

PAU2015: Najib Bukan Pemimpin ‘Masuk Bakul Angkat Sendiri’ – Salleh

8:23pm 10/12/2015 Pak Roshan 39 views Mutakhir,Nasional

salleh

KUALA LUMPUR : Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak bukan pemimpin yang bersikap ‘masuk bakul angkat sendiri’ apabila mengaitkan pelbagai kejayaan orang Melayu dengan UMNO, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata pelbagai kisah kejayaan yang dikongsi oleh Najib semasa merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2015 hari ini adalah fakta yang tidak dapat dinafikan sama sekali.

Menurut Salleh, yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, pemimpin dan kerajaan sememangnya tidak boleh dipisahkan bagi setiap kejayaan yang dilakar sama ada oleh sesuatu kaum atau negara.

“Pada saya presiden (Najib) tidak ada mengambil kredit daripada kejayaan orang Melayu. Dia menyatakan dengan jelas bahawa sejak merdeka kejayaan yang dicapai adalah kejayaan parti UMNO,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan Wanita UMNO di sini Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan bahawa Najib tidak boleh mengambil kredit daripada kejayaan UMNO memajukan negara sejak merdeka.

Dr Mahathir ketika ditemui selepas perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2015 di sini berkata: “Itu (kejayaan) UMNO, bukan pemimpin UMNO.

“UMNO berjaya tapi janganlah ambil kredit kejayaan UMNO itu seolah-olah itu kejayaan kita sendiri. Saya pun tidak pernah ambil kredit,” katanya.

Menjelas lanjut mengenai kenyataan bekas perdana menteri itu, Salleh berkata Dr Mahathir turut menikmati pujian sepanjang menerajui UMNO.

“Tidak dinafikan bahawa ada kemajuan dilakukan pada zaman Mahathir, banyak pihak memuji beliau kerana biasanya kita tidak boleh pisahkan antara kerajaan dengan pemimpin,” katanya.

Menyentuh mengenai ucapan presiden UMNO, Salleh menyifatkan ia sebagai ucapan seorang pejuang yang bukan hanya untuk membela nasib rakyat, tetapi jelas menunjukkan hala tuju parti.

“Jelas Najib berucap daripada hati yang besar, mahu kita lupakan benda kecil dan tumpukan kepada perjuangan sebenar demi rakyat dan kemajuan Malaysia,” katanya.

Mengenai Karnival Kesihatan Wanita UMNO, Salleh berkata ia menunjukkan UMNO sebagai sebuah organisasi bukan hanya mementingkan politik semata-mata, tetapi turut menawarkan khidmat kepada masyarakat.

Karnival berlangsung lima hari sehingga Sabtu ini dan antara lain menawarkan pemeriksaan kesihatan; pemeriksaan klinikal payudara; pendaftaran subsidi monogram serta pameran informasi kanser.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan