Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pati jejas keadaan sosial, ekonomi negara: Abu Zahar

patijejasnegara

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang hari ini melahirkan rasa dukacita berhubung kebanjiran pendatang asing tanpa izin (Pati) di negara ini yang menimbulkan banyak masalah sosial dan menjejaskan ekonomi tempatan.

Beliau berkata kewujudan kira-kira 400,000 Pati itu membebankan kerajaan Malaysia kerana kebanyakan mereka datang melalui sindiket dan proses penghantaran balik ke negara asal juga sukar kerana mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Malaysia bersedia menghantar mereka pulang tetapi memerlukan komitmen pihak berkuasa negara-negara asal terbabit kerana perkara ini memberi persepsi buruk kepada Malaysia seolah-olah kita (Malaysia) bertangungjawab kepada aktiviti pemerdagangan manusia,” katanya.

Abu Zahar berkata demikian kepada Bernama selepas menerima kunjungan hormat kali kedua Duta Besar Switzerland, Dr Rolf Lenz di pejabatnya di bangunan Parlimen, di sini.

Katanya Malaysia ialah sebuah negara yang mengutuk kegiatan pemerdagangan manusia dan meminta masyarakat dunia bersikap adil kepada negara ini serta tidak hanya mempercayai laporan media yang tidak beretika semata-mata.

Mengulas tentang pertemuannya dengan Duta Besar Switzerland, Abu Zahar berkata Lenz menyampaikan hasrat untuk menemukan beliau dengan seorang anggota Perhimpunan Parlimen Majlis Eropah yang terkenal, Andreas Gross, pada Oktober ini.

Kunjungan Gross yang belum ditetapkan tarikhnya itu katanya bertujuan untuk bertukar-tukar pandangan mengenai perundangan, khususnya topik Federalisme.

“Apabila ditetapkan tarikh kelak, saya juga bercadang menemukan Gross dengan anggota di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, termasuk daripada parti pembangkang supaya mereka juga dapat memberikan pandangan,” katanya.

Abu Zahar berkata Lenz turut memuji langkah yang diambil oleh Malaysia dalam usaha memerangi rasuah selain sikap ramah mesra Malaysia yang baik terhadap tetamu luar negara.

Komen


Berita Berkaitan