Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

PASTIKAN KEPUTUSAN TEPAT HAD UMUR BERKAHWIN

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah mengarahkan kementerian yang mengendalikan hal ehwal agama Islam untuk memastikan satu keputusan tepat dibuat berkaitan isu umur perkahwinan di negeri.

Beliau berkata, pertimbangan perlu dibuat sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada sidang media selepas merasmikan Kursus Ahli Lembaga Pengarah Badan Berkanun dan Agensi Kerajaan Negeri Sabah 2018 di Hyatt Regency, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Setelah kita ada ketetapan mengenai had umur perkahwinan, kita akan umumkannya. Cadangan had umur perkahwinan 14 dan 16 tahun bagi remaja perempuan dan lelaki adalah idea Mufti Sabah.

“Beliau merupakan pakar dalam bidang agama Islam, jadi kita perlu dengar pandangan beliau juga.

“Tapi tidak bererti kerajaan negeri setuju dengan perkahwinan umur seawal 12 tahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Kepada Pengarah-Pengarah Badan Berkanun Negeri di sini hari ini.

Sebelum ini, Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar tidak bersetuju had umur minimum perkahwinan dinaikkan kepada 18 tahun, sebaliknya mencadangkan ia diturunkan kepada masing-masing 14 dan 16 bagi remaja perempuan dan lelaki.

Bagaimanapun, beliau menegaskan prosedur operasi standard (SOP) perkahwinan itu mesti melalui mahkamah.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, golongan remaja sebenarnya perlu memberikan tumpuan kepada usaha menuntut ilmu sehingga ke menara gading dan memastikan mereka boleh berdikari sebelum mendirikan rumahtangga.

Katanya, remaja mahupun keluarga mereka perlu memikirkan kestabilan dalam kehidupan masing-masing sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan