Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pasport Malaysia Versi Baharu Tercantik Di Dunia

PUTRAJAYA – Buku merah saiz kecil ini kelihatan biasa-biasa sahaja tetapi bagi mereka yang melihatnya buat kali pertama pasti berasa kagum.

Malahan ramai netizen tempatan dilaporkan memuji dokumen perjalanan rasmi antarabangsa ini yang tampil cantik dengan rekaan batik berwarna biru, merah dan jingga.

Bahagian kulit di sebelah dalam pula mempunyai motif kain songket seolah tenunan keemasan, selain dua kuntum bunga raya yang kembang mekar di bahagian belakang.

Bermotif flora dan fauna, helaian demi helaian memaparkan mercu tanda ikonik negara dari Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Istana Negara sehingga ke Gunung Kinabalu, puncak tertinggi di Asia Tenggara.

Muka surat biodata polikarbonat turut mempunyai ciri keselamatan tambahan termasuk dilengkapi dengan cip. Ia bukanlah buku karya seni, tetapi merupakan pasport Malaysia versi baharu dengan wajah baharu.

Menurut portal MStar Online, dokumen ini mula dikeluarkan pihak Jabatan Imigresen sejak 15 November lalu dan ia turut disahkan sendiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Beliau bahkan berkata, rekaan pasport Malaysia versi baharu itu berkonsepkan lima prinsip Rukun Negara, nilai tradisi serta flora dan fauna, masing-masing mempamerkan kedamaian dan kesejahteraan negara.

“Konsep ini dapat dilihat menerusi paparan awal gambar masjid iaitu simbolik kepada kepercayaan kepada Tuhan, Istana Negara (kesetiaan kepada raja dan negara), bangunan Parlimen (keluhuran perlembagaan).

“Juga Istana Kehakiman (kedaulatan undang-undang) dan Muzium Negara yang menunjukkan warisan dan budaya kita (kesopanan dan kesusilaan),” kata Mustafar kepada portal tempatan itu.

Berdasarkan pandangan dan maklum balas orang ramai, beliau berkata, mereka menyifatkan pasport Malaysia versi baharu ini adalah antara pasport antarabangsa yang paling cantik di dunia.

Mustafar berkata, selain rekaan yang lebih anggun, pasport versi baharu itu turut mempunyai penambahbaikan pada ciri keselamatan di kulit hadapan dan belakang.

“Muka surat biodata polikarbonat disertakan bersama cip di dalamnya berbanding sebelum ini cip di bahagian belakang pasport. Setiap halaman pada pasport juga mempunyai ciri keselamatan tambahan.

“Pengesahan dari segi ketulenan pasport tidak boleh dilihat dengan mata kasar dan hanya didedahkan melalui cahaya ultra-violet (UV),” katanya sambil menambah kedudukan baharu cip itu menyukarkan pemalsuan.

Ini termasuk aktiviti curi maklumat dan godam bacaan data peribadi. Difahamkan, ciri keselamatan tambahan pasport versi baharu adalah sekali ganda berbanding bentuk lama sebelum ini.

Mustafar berkata, hampir 20,000 pasport Malaysia versi baharu dikeluarkan sejak 15 sehingga 29 November lalu. Setiap muka surat pasport mempunyai rekaan batik dan bermotifkan flora dan fauna.

“Secara keseluruhan, sebanyak 1.7 juta pasport dikeluarkan dari Januari sehingga Oktober tahun ini dan secara purata Jabatan Imigresen mengeluarkan dua juta pasport setahun,” tambahnya.

Pasport Malaysia versi baharu ini dikeluarkan di pejabat Imigresen bermula di Menara Ikhlas, Putrajaya sebelum diperluaskan secara berperingkat kepada semua cawangannya di seluruh negara.

Dalam pada itu, Mustafar menegaskan bahawa pasport versi baharu itu hanya dikeluarkan untuk permohonan baharu manakala pasport sedia ada yang sah laku masih boleh lagi digunakan.

Katanya, Jabatan Imigresen mengenakan pemeriksaan yang rapi terhadap setiap pasport dalam menentukan kesahihannya bagi memastikan standard mutu pasport Malaysia kekal unggul. – Agensi/Mynewshub/HAA

Komen


Berita Berkaitan