Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pasangan Panda Xing Xing, Liang Liang Semaik Selesa Di Malaysia

panda

KUALA LUMPUR – Masihkah anda ingat lagi pasangan panda gergasi comel ‘Xing Xing’ dan ‘Liang Liang’ yang pernah menjadi ‘kegilaan’ orang ramai terutamanya kanak-kanak ketika berkunjung ke Zoo Negara?

Kini, sudah genap setahun pasangan panda gergasi itu ‘bermastautin’ di Malaysia sebagai ikon memperingati 40 tahun hubungan persahabatan kukuh antara Malaysia dan China.

Kedua-dua ekor panda itu dilihat semakin selesa berada di rumah kedua mereka iaitu Giant Panda Conservation Centre (GPCC) di Zoo Negara, yang dibuka kepada umum sejak setahun lalu.

Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Zoologi Malaysia [email protected] Amat Lana, pasangan panda gergasi itu telah menerima kunjungan seramai 360,719 orang awam dalam tempoh setahun sejak pembukaan GPCC pada 25 Jun 2014.

“Sejak kedatangan pasangan panda ke GPCC, jumlah pengunjung ke Zoo Negara telah meningkat sehingga kira-kira 500,000 orang dan 60 peratus daripadanya datang untuk melihat panda,” katanya kepada Bernama.

Walaupun hampir setiap hari pasangan panda gergasi itu menerima kunjungan orang awam, mereka tidak berasa janggal malah tetap aktif menjalani kehidupan seharian mereka.

“Cuma mereka akan berasa tidak selesa dengan bunyi bising dan ‘flash’ kamera, sebab itulah setiap pengunjung yang datang akan diminta supaya senyap dan tidak menggunakan flash ketika mahu merakam gambar,” katanya.

KEINTIMAN XING XING DAN LIANG LIANG

Rosly berkata pada peringkat permulaan, panda jantan Xing Xing dilihat lebih aktif berbanding dengan pasangannya, Liang Liang yang kelihatan agak ‘senyap’ apabila tiba di Malaysia.

“Namun, dalam tempoh setahun berada di sini, Liang Liang pula bertukar aktif berbanding dengan Xing Xing. Liang-liang boleh dilihat sering bergerak aktif di kawasan penempatannya,” katanya.

Panda adalah haiwan yang mampu hidup bersendiri dan jarang bercampur dengan mana-mana haiwan lain daripada spesiesnya.

“Pasangan panda itu akan mengalami proses pengawanan sekali dalam setiap tahun apabila mereka menunjukkan tanda-tanda tertentu.

“Setakat ini hanya dua kali proses penyatuan pasangan panda itu untuk mengawan namun tidak berjaya kerana panda jantan Xing Xing dilihat ‘ragu ragu’ berbanding dengan panda betina Liang Liang yang bergiat aktif,” katanya.

Sepanjang tempoh setahun itu, penambahbaikkan demi keselesaan pasangan panda gergasi itu dan pengunjung sentiasa dikaji dan dilaksanakan dari masa ke masa.

“Dalam kawasan pameran di GPCC, landskap sentiasa berubah dengan penanaman pokok-pokok baharu dan ‘enrichment’ untuk panda juga sentiasa diadakan bagi memastikan mereka sentiasa aktif dan peka dengan persekitaran mereka,” katanya.

TAHAP KESIHATAN PASANGAN PANDA GERGASI

Dalam tempoh setahun ini, mereka tidak mengalami masalah kesihatan kerana tahap kesihatan mereka dipantau setiap hari.

“Seramai empat pegawai perubatan veterinar terlibat dalam penjagaan pasangan panda itu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Veterinar Zoo Negara, Dr Soon Xue Qi berkata pasangan panda itu akan menjalani pemeriksaan kesihatan harian sebelum dilepaskan ke ruang pameran.

“Berat badan panda jantan Xing Xing adalah antara 121 kg dan 125 kg manakala Liang Liang pula beratnya antara 105 kg dan 110 kg.

“Mereka diberi makan sebanyak enam kali sehari dengan kira-kira 30kg makanan merangkumi buluh, buah epal, lobak merah, pear dan kek panda,” katanya.

Soon berkata dalam tempoh setahun ini, pasangan panda itu tidak mengalami sebarang masalah kesihatan besar kecuali mengalami beberapa kali ‘cirit birit’.

“Sama seperti manusia yang tidak boleh mengelakkan daripada jatuh sakit, panda juga turut akan mengalami keadaan kesihatan yang kurang baik pada satu-satu ketika apabila makan terlalu banyak ataupun silap makan,” katanya.

Oleh kerana habitat asal pasangan panda itu adalah di China, maka pihaknya sentiasa memantau perubahan suhu dan cuaca di negara itu dengan mengambil kira tempoh empat musim.

“Jika sekarang merupakan musim panas bagi China, kami akan menyesuaikan suhu kepada 22 darjah celcius dalam bilik pameran GPCC ketika waktu siang dan pada sebelah malam pula akan diturunkan kepada 17 darjah celcius,” katanya.

KEMASUKAN KE ZOO NEGARA DAN GPCC

Rosly berkata pada hari-hari biasa bayaran untuk memasuki GPCC adalah RM20 bagi dewasa, kanak-kanak RM10 dan warga emas RM15 manakala masuk adalah percuma bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Bayaran RM20 itu tidak terlalu mahal jika dibandingkan dengan negara-negara jiran yang lain yang mengenakan harga yang lebih tinggi,” katanya.

Pasangan panda, Xing Xing dan Liang Liang dilahirkan pada 23 Ogos 2006 di Wolong, Si Chuan, China dan kehadiran kedua-dua panda dari China itu merupakan simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun Malaysia-China.

GPCC yang menempatkan pasangan panda gergasi dari China selama 10 tahun itu telah dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Jun lalu.

Dalam pelancaran itu, Najib turut mengumumkan nama baharu bagi pasangan panda ini iaitu Xing Xing (Kemakmuran) bagi panda gergasi jantan dan Liang Liang (Cantik) bagi panda gergasi betina. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan