Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,679

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

PAS Tolak Kerjasama Dengan Pakatan, Mahathir

11:30am 15/07/2016 Pak Roshan 456 views Mutakhir,Politik

awang-hadi

KUALA LUMPUR – PAS menegaskan parti itu tidak akan kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (PAN) termasuk dengan parti baharu yang mahu ditubuhkan Tun Dr. Mahathir Mohamad walaupun Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa supaya parti Islam itu berbuat demikian kelmarin.

Presiden PAS yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Ulama Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, PAS tetap berpegang teguh kepada al-Quran dan sunnah iaitu boleh kerjasama bersama pihak lain, namun tanpa berganjak dan tidak ada sebarang tawar menawar dalam perkara membabitkan akidah Islam.

“Semua masalah wajib dipikul bersama serta wajib penyelesaiannya yang diimani secara ikhlas, bukan kerana merebut peluang dan kesempatan yang mengulangi jahat dan zalimnya pula.

“PAS mempunyai pendekatan tersendiri bersama Islam dan wajib beristiqamah dengannya sehingga mereka yang tidak beristiqamah keluar PAS atau dipecat.

“PAS sedia berpakat tetapi tidak akan bersama dengan sesiapa sahaja yang tidak setia. Tidak ada tawar menawar dalam perkara akidah sehingga menjual atau mengadai atau memberi percuma dalam perkara tesebut kepada pihak lain semata-mata kerana kemenangan dunia tanpa akhirat sehingga memberi wala’ (ketaatan) kepada musuh Islam atau pengkhianat,” tegasnya dalam satu kenyataan rasmi PAS lewat malam tadi.

Musuh Islam yang dimaksudkan Abdul Hadi dipercayai merujuk kepada parti DAP dan PKR, manakala pengkhianat dipercayai merujuk kepada PAN dan mereka yang zalim pula adalah Mahathir dan pasukannya.

Abdul Hadi berkata, matlamat PAS adalah menegakkan Islam maka PAS wajib beristiqamah dan bertegas dalam perkara asas tersebut lalu memberi amaran kepada pihak yang mahu melanggar sempadan itu supaya jangan cuba mengheret PAS terkeluar daripada landasannya.

Menurut beliau, mereka yang menyertai PAS hanya memandang wawasan keduniaan tidak akan boleh bertahan kerana perjuangan PAS memandang kemenangan akhirat yang paling besar dan kemenangan dunia yang diuji menjadi jambatan ke akhirat.

“Allah menegaskan kepada mereka yang hanya inginkan kesempatan kemenangan yang cepat: “Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati adanya terlalu dekat dan satu perjalanan yang dapat dilihat pencapaiannya, nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu),” katanya.

Justeru, Abdul Hadi mengulangi penegasan PAS tidak boleh disertai oleh mereka yang cuma menjaga hubungan dengan manusia dan harta benda menyebabkan ada yang keluar daripada PAS secara suka rela atau dipecat dan mencari atau mencipta bahtera yang lain menjadi si luncai yang terjun bersama labunya.

“Belajar dan faham daripada al- Quran dan Sirah Nabawiyyah dan para salaf soleh. Jangan sekali-kali terpengaruh dengan pandangan jalanan atau ilmu daripada syaitan yang meredah langit terbuka tidak mengira dosa dan pahala.

“Teruskan Istiqamah, jangan diheret oleh musuh yang berpura-pura, yang mengheret kita daripada “Al-Siratol Mustaqim”. Jadikan cahaya Islam ini lampu penyuluh jalan mencapai matlamat walau pun jauh dan panjang, namun tetap selamat dan inilah juga cara mengenal kawan dan lawan secara berhemat,” tegasnya.

Tuan Ibrahim kelmarin mengejutkan ramai pihak apabila menggesa seluruh kepemimpinan, ahli dan penyokong PAS kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang diketuai oleh parti cauvanis DAP.

Beliau yang merupakan pemimpin tertinggi PAS tetapi pro-Pakatan Harapan `dalam diam’ mendakwa PAS dan Pakatan Harapan perlu melaksanakan gencatan serangan sesama sendiri bagi bersama-sama menyerang parti Melayu UMNO.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim menyeru seluruh ahli dan penyokong PAS melupakan segala perbuatan, penghinaan dan fitnah yang pernah dilemparkan DAP,PKR, PAN dan Mahathir ke atas parti itu.

Beliau turut memujuk seluruh pemimpin, ahli dan penyokong PAS supaya menghormati sebarang perbezaan dengan DAP dan PKR dalam isu akidah Islam sebagai langkah berkompromi.

“Kalau prinsip dan dasar Islam yang dibawa PAS adalah titik perbezaan, langkah komprominya ialah hormati perbezaan itu dan jangan dijadikan ia sebagai titik pertikaian selagi PAS memperjuangkan dasarnya dalam ruang demokrasi yang ada,” dakwa Tuan Ibrahim.

PAS disingkirkan daripada gabungan pakatan pembangkang oleh DAP dan PKR pada tahun lalu disebabkan PAS enggan tunduk kepada desakan supaya berkompromi dalam beberapa isu membabitkan akidah Islam yang dianggap DAP dan PKR boleh menjejaskan kepentingan politik pembangkang.

DAP dan PKR kemudian bertindak menubuhkan Pakatan Harapan selepas membubarkan Pakatan Rakyat bagi membentuk gabungan baharu parti pembangkang yang turut dianggotai PAN.

PAN ditubuhkan oleh beberapa bekas pemimpin PAS bertujuan menggantikan PAS sebagai parti Islam dalam pakatan baharu parti pembangkang.

Mahathir pula semalam mengumumkan akan menubuhkan sebuah parti baharu kononnya untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan PAS bagi menumbangkan kerajaan Malaysia.

Bekas Perdana Menteri itu berbuat demikian kerana berdendam dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang enggan memenuhi kepentingan peribadinya termasuk dalam pembinaan jambatan bengkok.

Mahathir bertambah marah dengan Najib apabila usahanya untuk menjadikan pengikut setianya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu menemui jalan buntu.

Berikutan itu Mahathir dan kumpulan penentang dalaman UMNO bertindak meninggalkan UMNO untuk bekerjasama dengan DAP, PKR dan PAN bagi mengkhianati parti terbesar kaum Melayu tersebut. – mynewshub.cc

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan