Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,655

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Parti Politik Baharu Bukan Penentu PRU14 – Shahrizat

7:06pm 20/08/2016 Pak Roshan 36 views Mutakhir,Politik

Datuk-Seri-Shahrizat-Abdul-Jalil

LABUAN – Kemunculan parti politik baharu dalam menuju pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bukan perkara luar biasa sebaliknya satu kebiasaan atau norma dalam arena politik tanah air, kata Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan anggota UMNO agar tidak memandang penubuhan parti baharu “sambil lewa” dan perlu bersiap sedia untuk menghadapi saingan daripadanya.

“Kemunculan parti-parti (baharu), meskipun diterajui oleh bekas pemimpin UMNO, ia bukan menjadi ‘penentu’ dalam PRU14. Adalah penting bagi kesemua pergerakan (sayap) dalam UMNO untuk sentiasa bersiap-sedia menyumbang khidmat untuk rakyat di semua peringkat.

“Yang amat mustahak untuk menang dalam pilihan raya adalah untuk meletak rakyat sebagai pengukur khidmat bakti kita atau KPI (Petunjuk Prestasi Utama), dan sekiranya kita meletak rakyat sebagai KPI, rakyat akan memberi respons yang baik kepada kita (UMNO),” katanya.

Shahrizat berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Labuan, di sini hari ini.

Beliau menggesa barisan kepimpinan dan anggota parti agar melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dalam mendepani pembangkang dalam menghadapi PRU14.

“Kita harus ada perancangan untuk rakyat … fokus utama kita adalah (membantu) rakyat,” katanya.

Shahrizat berkata Wanita, Puteri dan Pemuda UMNO akan terus menjadi ‘benteng’ kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mengharungi pelbagai bentuk cabaran.

Dalam pada itu, katanya melihat kepada peranan penting wanita, adalah perlu pemimpin pergerakan Wanita diberi jawatan penting sama dengan pemimpin lelaki termasuk di peringkat bahagian parti.

“Setiap kejayaan seorang lelaki itu, selalunya di sisinya adalah wanita atau isteri yang tabah. Oleh yang demikian, pergerakan Wanita tidak harus diperkecilkan tetapi harus dihormati atas pengorbanan dan maruah mereka,” katanya.

Shahrizat juga mengingatkan anggota dan barisan kepimpinan pergerakan Wanita, Puteri dan Pemuda agar tidak menjadikan pergerakan itu sebagai platform untuk bersaing atau ‘berlawan-lawan’ yang hanya akan menjejaskan parti. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan