Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

PARLIMEN: ‘Setuju boleh, tak setuju pun boleh’

TAN Sri Pandikar Amin Mulia bercakap kepada wartawan selepas majlis makan tengah hari Persatuan Parlimen Komanwel di Bangunan Parlimen. – Foto Asyraf Hamzah

 

KUALA LUMPUR: Pembentangan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya di Dewan Rakyat esok tidak bersifat prejudis walaupun pembangkang mendakwa laporan yang disiapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih dalam pertimbangan kehakiman.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berkata pembentangan usul berkenaan tertakluk kepada bidang kuasa Parlimen, selaras prinsip pengasingan kuasa diamalkan di negara ini.

“Ini (amalan) demokrasi. Sesiapa saja boleh bersetuju dan tidak bersetuju. Itu pendapat orang lain (subjudis). Bagi pendapat saya, subjudis hanya tertakluk kepada kes tertentu.

“(Kalau) subjudis dalam kes ini bermakna Dewan Rakyat tidak boleh buat apa-apa. Bagi saya dalam soal pengasingan kuasa ini, biar Parlimen buat kerja, mahkamah buat kerja dan Eksekutif buat kerja masing-masing,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas menghadiri Sambutan Hari Komanwel bertema ‘Ke Arah Masa Depan Yang Sama’ di Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, pembangkang dilapor menggesa Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya tidak membenarkan laporan persempadanan semula kawasan pilihan raya dibahaskan di Parlimen sehingga semua notis bantahan berkaitan persempadanan semula ditentukan mahkamah.

Ketika ini, ada kes membabitkan kerajaan Selangor dan Pulau Pinang yang mencabar proses persempadanan semula di Mahkamah Rayuan dan Persekutuan.

Dalam perkembangan lain, Pandikar Amin menyerahkan kepada pihak berkuasa mengawal keselamatan di sekitar kompleks Parlimen esok.

“Waktu pembukaan sidang Parlimen tempoh hari, ada usul dikemukakan Timbalan Perdana Menteri mengatakan jangan dihalang laluan masuk ke Parlimen. Terpulang kepada pihak berwajib menjalankan tugas selaras usul itu,” katanya.

Kumpulan BERSIH 2.0 dijangka membuat protes di luar bangunan Parlimen esok, dipercayai bagi membantah cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan