Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Parlimen Beluran Sumbang 200 Katil Kepada Asrama SMK Telupid

3:49pm 31/01/2016 Pak Roshan 86 views Mutakhir,Sandakan,Tempatan

smk-telupid

TELUPID : Pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid kini dapat tidur dengan selesa selepas menerima sumbangan 200 katil berserta tilam dan bantal.

Sumbangan itu hasil inisiatif Anggota Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee selepas kedaifan kemudahan asrama itu diviralkan menerusi Facebook awal bulan ini.

Ronald yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata dengan adanya kemudahan baharu itu, pelajar yang tinggal di asrama sekolah berkenaan dapat tinggal dengan lebih selesa dan membolehkan mereka memberi tumpuan terhadap pembelajaran.

Peruntukan kerajaan untuk Anggota Parlimen digunakan bagi mendapatkan katil, tilam dan bantal, serta turut disumbangkan oleh beberapa syarikat dan orang perseorangan sekitar Beluran, katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan katil di Asrama SMK Telupid di sini, Ahad.

Menurutnya laporan daripada pihak sekolah sebelum ini menunjukkan katil, almari serta bantal asrama itu kini melebihi 10 tahun dan ada yang mencapai 30 tahun tanpa diganti.

Pengetua SMK Telupid Rukimin Sulit berkata beliau amat menghargai sumbangan itu bagi penyelesaian serba sedikit masalah kelengkapan asrama sekolah tersebut.

Katanya pada masa sekarang terdapat 355 pelajar tinggal di asrama dan jika kemudahan dan kelengkapan mencukupi, kapasiti asrama adalah untuk 480 pelajar.

“Soal kedaifan kelengkapan asrama seperti yang diviral di media sosial memang benar cuma kini dianggap sudah hampir 80 peratus selesai,” katanya.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Telupid Ibrahim Masdin berterima kasih atas keprihatinan Ronald dan pihak lain menyelesaikan masalah itu.

Ronald turut meluluskan peruntukan RM20,000 untuk mengecat asrama berkenaan agar lebih ceria dan penghuni mendapat suasana selesa untuk belajar.

— BERNAMAtelupid

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan