Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Para Kl2017: Felicia masih mampu tersenyum

ATLET Malaysia, Felicia Mikat (kiri) ketika beraksi dalam acara 100m kategori T13 pada Sukan Para Asean KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. – Foto Osman Adnan

 

KUALA LUMPUR: Gembira dalam duka dirasai ratu pecut para negara, Felicia Mikat ketika beraksi di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Atlet dari Sabah itu mampu tersenyum apabila menamatkan saingan selaku pemenang pingat gangsa acara 100 meter (m) T13 (masalah penglihatan) dengan catatan 14.12 saat, memperbaharui rekod peribadi terbaiknya 14.50s.

Tetapi di sebalik senyumannya, Felicia terpaksa beraksi dalam kesakitan kerana mengalami kecederaan buku lali kiri.

Felicia mengakui dia berdepan kecederaan sewaktu menjalani latihan dua minggu sebelum temasya Para KL2017, namun semangat juang tinggi yang ada menyebabkan dia mengetepikan masalah itu.

Namun pemenang tiga emas (100m, 200m dan 400m) di Singapura dua tahun lalu itu juga secara jujur mengakui yang dia tidak kecewa meskipun gagal mempertahankan pingat emas acara 100m ini.

“Saya cedera di bahagian buku lali dua minggu sebelum temasya ini, tapi saya tidak berfikir mengenai kecederaan ini kerana saya sebenarnya tidak fokus sangat hendak mendapatkan pingat, sebaliknya membaiki rekod peribadi terbaik saya.

“Sama ada saya berlari atau tidak kerana cedera, saya tetap akan buat yang terbaik. Saya tidak kecewa gagal memenangi emas malah saya mampu untuk senyum di depan penonton,” kata Felicia ketika ditemui sejurus tamat aksinya.

Felicia yang berhasrat mahu menghadiahkan pingat itu buat keluarga berkata selepas ini dia akan terus bersukan, selain memberikan tumpuan terhadap pelajaran untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bercakap mengenai pembahagian masa, Felicia mengakui yang dia perlu bijak membahagikan latihan dengan pelajaran dan akan berlatih bersama adiknya ataupun seorang diri di jalan raya di Tambunan, Sabah.

Felicia menjadi individu ketiga di garisan penamat untuk memenangi gangsa dengan catatan 14.12s, sementara emas milik Putri Aulia (12.66s) dan perak diraih Ni Made Arianti Pu (13.04s), kedua-duanya dari Indonesia. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan