Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pangkat tidak akan membawa apa-apa

11:40pm 05/09/2016 Leolerry Lajius 354 views Kota Kinabalu,Pendidikan,Tempatan,YB Datuk Haji Masidi Manjun

KOTA KINABALU: “Pangkat tidak akan membawa apa-apa kerana kita semua akan pergi meninggalkan dunia ini apabila waktunya tiba kelak. ”

Demikian ungkapan Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, ketika menyampaikan ucapan sempena, Program Pentas Merdeka (Komuniti Pembelajaran Professional) Perubahan Bermula dari Bilik Darjah, di sini, hari ini.

“Saya berkata demikian bukan kerana saya seorang menteri kerana sesiapapun boleh menjadi menteri cuma yang membezakan kita adalah keikhlasan dalam menjalankan tugas.”

“Antara saya dan hadirin yang hadir pada hari ini, kita tidak mempunyai perbezaan cuma kita hanya melakukan tugas yang berlainan, kamu menjadi guru dan saya menjadi menteri tetapi apabila tiba waktunya nanti kita semua akan menjadi makanan cacing,”katanya.

Masidi, merangkap Exco Pendidikan Negeri, turut menyeru guru-guru muda agar tidak merasa kecewa sekiranya tidak disukai oleh guru yang telah lama berkhidmat dan turut menyarankan agar guru muda sentiasa berusaha untuk merapatkan hubungan dengan mereka.

“Apabila kita telah lama berkhidmat, kadangkala kita akan merasa diri kita lebih tahu berbanding mereka yang baru, tetapi kita jangan lupa bahawa kita juga boleh mempelajari banyak perkara daripasa insan yang jauh lebih muda dari kita.”

“Sebagai guru usah rasa malu untuk melaksanakan sesuatu yang boleh mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih berkesan dan tidak perlu takut untuk berhadapan dengan kesilapan kerana mereka yang takut untuk melakukan kesilapan adalah individu yang tidak pernah membuat kerja.

“Kita semua tidak ada yang sempurna dan pasti akan melakukan kesilapan, jika tersilap jadikanlah kesilapan itu sebagai pengajaran,”katanya.

Beliau turut memuji ketabahan guru-guru yang bertugas di negeri ini dan juga di Sarawak kerana sentiasa komited dalam menjalankan tugas walau berhadapan dengan cabaran yang mencabar.

“Guru-guru di negeri ini, sama baik dan sama hebat dengan guru yang berada di luar daripada Sabah dan terus terang saya katakan pendidik yang berani menempuh pelbagai cabaran dan rintangan adalah yang bertugas di negeri ini serta di Sarawak,”katanya.-Oleh Leolerry Lajius/Sayang Sabah.

Masidi (tengah) mengambil gambar bersama hadirin yang hadir sempena program berkenaan.-Gambar Oleh Alex Mairin

Masidi (tengah) mengambil gambar bersama hadirin yang hadir sempena program berkenaan.-Gambar Oleh Alex Mairin

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan