Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,652

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pangkalan Operasi Hadapan Perketat Kawalan Keselamatan Perairan Sabah

6:46pm 18/04/2016 Pak Roshan 269 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

esscom2411-600x367

KUALA LUMPUR – Kewujudan Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) dapat memperketatkan lagi kawalan keselamatan di perairan Sabah, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata tahap keselamatan sama ada di darat, laut mahupun udara yang mantap sekaligus dapat mengelakkan perairan negara diceroboh anasir-anasir yang boleh menggugat ketenteraman serta kedaulatan negara.

“Kita juga akan buat pemantauan lebih kerap, polis mengalu-alukan kerjasama pelbagai hala daripada negara-negara jiran untuk turut sama menjaga keselamatan perairan sempadan,” katanya dalam sidang media bersempena Perhimpunan Bulanan semua jabatan peringkat Bukit Aman di sini Isnin.

Sekiranya Malaysia, Indonesia, Filipina dan Brunei dapat bekerjasama memastikan keselamatan perairan, beliau yakin pihak luar tidak akan berani mengambil kesempatan menceroboh kawasan perairan negara masing-masing.

“Dalam hal ini, saya rasa negara-negara jiran hendaklah bersama-sama memastikan keselamatan perairan terjaga… jadi saya rasa sudah sampai masanya usaha ini dibuat,”katanya.

Pembinaan FOB yang menelan belanja RM50 juta itu merupakan insiatif Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan polis marin di Pulau Mabul, Semporna dan Kampung Kerakit, Pulau Banggi di Kudat.

FOB Pulau Mabul mula beroperasi Isnin lalu manakala FOB Pulau Banggi akan diaktifkan dalam masa terdekat.

Pelaksanaan operasi bagi kedua-dua FOB itu diketuai Pasukan Polis Marin (PPM) dengan gabungan elemen Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Unit Tindak Khas (UTK) dan Pasukan 69 Komando.

Dalam perkembangan lain, berhubung siasatan melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Khalid berkata siasatan masih dijalankan dan tidak akan mendedahkan sebarang proses siasatan kepada umum.

“Biar kami habiskan dulu siasatan… kalau ada perkara baharu yang ingin dirungkaikan maka kita terpaksa panggil saksi baharu sebagai tambahan. Saya rasa kita juga tidak akan ambil masa yang lama untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dianggotai anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang baru-baru ini membentangkan laporan mengenai Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB setebal 106 muka surat di Dewan Rakyat.

Jawatankuasa itu antara lain mengesyorkan pihak berkuasa supaya menyiasat bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan pihak yang berkaitan dengan pengurusan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan