Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,662

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Panggilan Telefon Diterima Berhubung Kes Culik Terbaru – Polis Sabah

3:24pm 16/09/2016 Pak Roshan 2730 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd. Rashid Harun

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd. Rashid Harun

KOTA KINABALU : Satu panggilan telefon diterima berhubung kes penculikan tiga anak kapal nelayan di perairan Pulau Pom Pom, Semporna baru-baru ini.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun enggan mengulas butiran panggilan telefon itu.

“Memang ada panggilan telefon. Tetapi biarlah kita (polis) menyiasat dahulu kesahihan panggilan tersebut, sama ada ia betul-betul daripada penculik atau orang yang mahu mengambil kesempatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan Hari Malaysia peringkat Sabah di sini, Jumaat.

Abdul Rashid berkata beliau difahamkan semua mangsa dalam keadaan selamat dan polis akan terus menyiasat kes itu.

Tiga anak kapal nelayan itu dikenali sebagai Loloi Alpin, 30, Sami, 30-an, dan Masurin, 50-an masing-masing warga Filipina tetapi memiliki dokumen IMM13 dan Surat Banci daripada Pasukan Petugas Khas.

Mereka diculik tujuh lelaki bersenjata api ketika menangkap ikan bersama-sama 13 lagi anak kapal di perairan berkenaan kira-kira 10.40 malam pada 10 Sept lepas.

Abdul Rashid turut kesal kerana kebanyakan bot nelayan di perairan Sabah khususnya di pantai timur negeri ini tidak memasang sistem komunikasi Sistem Pengesanan Automatik (AIS) untuk membolehkan mereka berhubung dengan pihak berkuasa.

“Seperti insiden (culik) baru-baru ini, bot dia tidak ada sistem perhubungan seperti AIS.

“…kita minta nelayan supaya pasangkannya (AIS) dan beri kerjasama kepada pasukan keselamatan dalam menjaga kepentingan dan keselamatan kita bersama,” katanya.

Beliau berkata bahawa polis sedang mengkaji semula pemberian permit kepada nelayan untuk menjalankan kegiatan perikanan di perairan negara pada waktu perintah berkurung.

Abdul Rashid menjelaskan kajian semula itu bukan untuk melarang kegiatan perikanan pada waktu berkenaan tetapi mencari pendekatan sesuai menjalinkan kerjasama antara nelayan dengan pasukan keselamatan.

Menurutnya pelaksanaan perintah berkurung di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) masih efektif, tetapi memerlukan kerjasama masyarakat untuk memastikan keselamatan terjaga.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan penculik bersembunyi di kawasan ESSZone, khususnya pulau-pulau berhampiran selatan Filipina.

Sempena sambutan Hari Malaysia, Abdul Rashid berharap rakyat terus bekerjasama dalam memelihara keselamatan dan keamanan negara ini.

“Kita semua telah bersusah payah memastikan kedaulatan dan keamanan negara. Jadi, kita jagalah negara kita bersama,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan