Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,795

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Panduan Mendirikan Solat Sunat Tahajjud

11:37am 23/03/2016 Zakir Sayang Sabah 116 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Solat Tahajjud adalah solat malam yang dilaksanakan setelah bangun tidur, afdalnya dibuat secara bersendirian waktu selepas tengah malam. Solat sunat ini amat dituntut dan sangat baik dilakukan sebagai ibadah tambahan. Rasulullah SAW dan para sahabat tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka.

Firman Allah SWT.:

“Dan pada sebahagian malam hari bersolat Tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu; Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”Surah Isra’, ayat 79

Rasulullah SAW bersabda:

“Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari perbuatan dosa dan dapat menghalangi penyakit dari badan.”Riwayat Tirmizi dan Ahmad r.a.

Cara Mendirikan Solat Tahajjud

Solat Tahajjud dilakukan tiada had rakaatnya, mengikut kesanggupan dan kemampuan, dengan setiap dua rakaat satu salam. Jika dirasakan berat memadailah sekadar dua rakaat tetapi dilakukan secara berterusan setiap malam.

Rasulullah SAW telah bersabda:

“Amalan yang disukai oleh Allah, adalah yang terus menerus (istiqamah) walaupun sedikit.”Riwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Aisyah

1. Sebelum mengerjakan Solat Tahajjud baca doa berikut:

Tiada Tuhan melainkan Dikau, Maha Suci Dikau! Daku memohon ampun kepada-Mu bagi dosa-dosaku dan daku memohon kepada-Mu akan Rahmat-Mu.

Ya Allah! Tambahkanlah padaku ilmu dan janganlah Dikau pesongkan hatiku setelah Dikau berikan petunjuk. Dan berikanlah daku Rahmat-Mu; Sesungguhnya Dikaulah yang melimpahkan rahmat! Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkanku dan kepada-Nyalah tempatku kembali.

2. Niat Solat Tahajjud:

Ushalli sunnatat tahajjudi rak’ataini Lillahi ta’ala

“Daku bersolat Sunat Tahajjud dua rakaat, kerana Allah Ta’ala.”

3. Bacaan Surah selepas Al-Fatihah:

a) Rakaat pertama: Ayat Al-Kursi (7 kali), Rakaat kedua: Surah Al-Ikhlas (11 kali)

Atau;

b) Rakaat pertama: Ayat Al-Kaafirun,Rakaat kedua: Surah Al-Ikhlas

Atau;

c) 10 Ayat Terakhir, Surah Al-Imran, (Rasulullah SAW sering membaca ini pada solat Tahajjud Baginda.)

Kelebihan Solat Tahajjud

1. Tahajjud adalah solat sunat yang paling afdal.
2. Doa dimakbulkan Allah.
3. Memperolehi ketenangan jiwa.
4. Merasai diri hampir kepada Allah SWT.
5. Diberikan keistimewaan oleh Allah SWT.
6. Memperolehi pertolongan dan rahmat Allah.
7. Menewaskan gangguan dan godaan syaitan.
8. Mencegah dosa dan menghindari penyakit.
9. Menjadi lebih berdisiplin dalam melakukan tugas.
10. Allah SWT memudahkan menerima ilmu yang dipelajari.
11. Terkeluar daripada catatan sebagai golongan yang lalai.
12. Dihormati masyarakat dan dijauhi daripada hasad dengki manusia.
13. Allah SWT memberikan kemudahan dan rezeki yang berpanjangan.
14. Orang bersolat Tahajud menjadi kesayangan Allah SWT.
15. Diberi keistimewaan yang orang lain tidak perolehi.
16. Mendapat kemuliaan Allah SWT di dunia dan akhirat.
17. Meninggikan martabat seorang hamba di sisi Allah Azza Wa Jalla.
18. Memudahkan hisab di akhirat dan melintasi Titian Siratal-Mustaqim.

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Kerja Dari Rumah)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan