Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,702

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pandelela Terima Habuan Bernilai RM1.3 Juta

9:39pm 03/09/2016 Pak Roshan 59 views Mutakhir,Nasional

image-6

KUCHING – Ratu terjun negara, Pandelela Rinong menerima habuan berjumlah RM1.3 juta daripada pihak swasta dan kerajaan negeri atas pencapaian pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016, bulan lepas.

Anak kelahiran Sarawak itu dihadiahkan sebuah kondominium berharga RM700,000 oleh sebuah syarikat swasta di samping insentif RM500,000 oleh kerajaan negeri dan RM100,000 daripada sebuah lagi syarikat swasta.

Unit kondominium yang dilengkapi perabot itu terletak di Bandar Baharu Batu Kawah di sini dihadiahkan oleh Tenaga Stabil Sdn. Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif, Tenaga Stabil, Hong Boon Swee menyerahkan kunci unit kondominium berkenaan kepada Pandelela sempena majlis sambutan atlet berkenaan di Dewan Suarah Kuching di sini hari ini.

Di samping itu, kawasan kediaman kondominium itu turut dinamakan sebagai Pandelela Rinong’s Residence.

Pada Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil, bulan lepas, Pandelela bersama Cheong Jun Hoong merangkul pingat perak dalam acara 10m platform seirama.

Sementara itu, pada majlis sama, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Unggah Embas mengumumkan insentif sebanyak RM500,000 kepada Pandelela daripada kerajaan negeri.

Selain itu, Pusat Akuatik Negeri di Kompleks Sukan Petra Jaya di sini dinamakan sebagai Pusat Akuatik Pandelela Rinong, katanya sambil menyatakan penghargaan atas kejayaan Pandelela mengharumkan nama negara dan negeri Sarawak.

Dalam pada itu, sebuah syarikat tempatan, Techninier Sdn. Bhd turut memberi insentif sebanyak RM100,000 kepada atlet itu.

Pandelela, dalam ucapan ringkas pada majlis itu, berkata beliau amat berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, khasnya rakyat Sarawak kerana sentiasa mendoakan kejayaan beliau.

Katanya beliau gembira kerana segala pengorbanannya selama ini berbaloi sehingga berjaya membawa balik pingat dari Sukan Olimpik Rio.

Kira-kira 500 orang menyambut ketibaan Pandelela di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan di Dewan Suarah Kuching. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan